Protes Netanyahu langgar demokrasi: Duta Israel di Perancis letak jawatan

Yael German meletak jawatan sebagai duta Israel di Perancis kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan kerajaan baharu negara itu yang kini kembali diketuai Benjamin Netanyahu. (FOTO: Flash90)
- Advertisement -

PARIS: Duta Besar Israel ke Perancis, Yael German, sekutu bekas perdana menteri, Yair Lapid, meletak jawatan pada Khamis (29 Dis) waktu tempatan, menuduh pengganti Lapid, Benjamin Netanyahu, dan kerajaan baharu di bawah kepimpinannya melanggar prinsip Deklarasi Kemerdekaan dan visi negara demokrasi Yahudi.

- Advertisement -

Dalam surat kepada Netanyahu, German berkata dia tidak dapat ‘berbohong kepada dirinya sendiri dan terus mewakili dasar yang sangat berbeza daripada apa yang dipercayainya’, lapor Anadolu Agency.

German memberitahu bahawa beliau berbangga untuk mewakili Israel dan kerajaan negara itu di Perancis  sebelum ini yang berasaskan ‘demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang’.

“Malangnya, kerajaan yang anda (Netanyahu)  tubuhkan dan pimpin termasuk wakil parti yang kedudukan melampaunya dinyatakan dalam garis panduannya, dalam dasar-dasarnya, dan dalam kenyataan mengenai perundangan – tidak sah pada pandangan saya,” tegasnya.

Kerajaan ke-37 pimpinan Netanyahu mengangkat sumpah dan memegang jawatan pada petang Khamis (29 Dis), yang mana kabinetnya berikrar  untuk mengembangkan lagi penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki dan meneruskan dasar anti-Palestin yang lain.

German, yang memulakan kerjaya politiknya dalam parti sayap kiri Meretz, menyertai kabinet Lapid pada tahun 2013 dengan berkhidmat sebagai menteri kesihatan dari 2013 hingga 2014. – HARAKAHDAILY 30/12/2022

- Advertisement -