Pesawat ke Bali ‘dipaksa’ terbang semula ke Melbourne

sebuah pesawat Jetstar dirakam ketika sedang berlepas dari Lapangan Terbang di Melbourne, Australia. (FOTO: AAP)
- Advertisement -

BALI: Sebuah penerbangan Jetstar dari Melbourne ke Bali terpaksa membuat pusingan U selepas lebih empat jam dalam penerbangan dan melencong semula ke Melbourne, Australia kerana tidak mendapat kebenaran untuk mendarat di Indonesia.

- Advertisement -

Syarikat penerbangan tambang murah itu menyalahkan ‘salah komunikasi’ dengan pengawal selia tempatan di Indonesia selepas penerbangan itu – yang telah ditangguhkan kira-kira lima jam apabila berlepas dari lapangan terbang Tullamarine, Melbourne kira-kira jam 11 malam Selasa (27 Dis)- terpaksa berpatah balik dan kembali ke lapangan terbang di Melbourne, lapor Guardian.

Pesawat itu terbang di atas pantai barat laut Australia dan telah berada di udara selama lebih empat jam daripada perjalanan keseluruhan enam jam apabila ia terpaksa berpatah balik semula ke Melbourne

“Penerbangan itu pada asalnya dijadualkan menggunakan Airbus A321 – yang mendapat kebenaran untuk mendarat – tetapi kemudiannya ditukar kepada pesawat Boeing 787 yang lebih besar untuk membawa lebih ramai penumpang sempena cuti Krismas,” kata seorang jurucakap Jetstar.

“Malangnya, disebabkan salah komunikasi, pertukaran kepada pesawat yang lebih besar tidak diluluskan oleh pengawal selia tempatan di Indonesia. 

“Sebaik sahaja kami menyedari perkara itu, penerbangan itu terpaksa kembali ke Melbourne, dan kami telah menempah semula penumpang dalam penerbangan lewat hari ini,” jelasnya.

Penerbangan pesawat Jetstar selama empat jam dari Melbourne ke Bali terpaksa membuat pusingan U kembali ke Melbourne selepas gagal mendapat kebenaran mendarat di Indonesia. (FOTO: Instagram @Hipstergeddon)

Sementara Guardian Australia melaporkan bahawa  syarikat penerbangan itu difahamkan tidak memaklumkan pertukaran pesawat kepada  pihak berkuasa Indonesia, maka kebenaran untuk mendarat di Bali telah dibatalkan. 

Pesawat itu akhirnya mendarat semula di lapangan terbang Tullamarine pada pagi Rabu (28 Dis) tadi.

Sementara itu, Jetstar mengeluarkan permohonan maaf pada Rabu (28 Dis) dan berkata ia telah melancarkan semakan ke atas insiden itu.

“Kami tahu ini merupakan pengalaman yang sangat mengecewakan penumpang pesawat kami dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas apa yang berlaku. 

“Sementara penumpang berkenaan menunggu penerbangan baharu, kami menyediakan bilik hotel dan baucar makan kepada mereka, dan kami menanggung kos pengangkutan lapangan terbang tambahan, selain ditawarkan baucar perjalanan AS$200 (RM884.60) kepada setiap penumpang yang terjejas,” kata jurucakap Jetstar.

“Kami telah memulakan semakan untuk memahami bagaimana kesilapan komunikasi itu berlaku supaya kami dapat mengelakkannya daripada berlaku lagi pada masa hadapan,” tambahnya.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas penerbangan ke London yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan induk Jetstar, Qantas, terpaksa melakukan pendaratan cemas di ibu kota Azerbaijan, Baku, dengan penumpang terkandas menjelang perayaan Krismas pada 25 Dis lepas.

Terdahulu, pada 1 Mac 2015 sebuah pesawat penerbangan Jetstar yang berlepas dari Melbourne ke Perth terpaksa berpatah kembali semula ke Melbourne selepas melalui Adelaide, angkara seorang penumpang mabuk dan ditahan melakukan kesalahan merokok sebanyak dua kali di dalam pesawat yang ketika itu turut membawa bahan api untuk kereta. – HARAKAHDAILY 28/12/2022

- Advertisement -