
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyusun pelan agenda-agenda bagi sepanjang tahun 2023 yang akan dilaksanakan, khusus buat golongan asnaf dan B40 yang tinggal di Wilayah Persekutuan.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pelbagai program telah disusun rapi oleh MAIWP bagi memastikan golongan asnaf dan B40 yang tinggal di Wilayah Persekutuan mampu keluar daripada kategori kemiskinan tegar bagi membolehkan mereka lebih berdaya saing pada masa akan datang.
Menurutnya, ia adalah selaras dengan tema MAIWP pada 2023 yang bertemakan Empowering and Enterprising – Towards 50 Years MAIWP of Excellence yang akan menghimpunkan syarikat dan Institusi Pendidikan MAIWP, usahawan asnaf dan rakan korporat MAIWP dalam satu program berskala besar.

Beliau hadir di Hotel Ideas, Kuala Lumpur bagi merasmikan Majlis Pra Pelancaran Karnival MAIWP 2023 pada hari ini.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ – MAIWP, Haji Abdul Hakim Amir Osman; Pengarah Strategik dan Latihan Naurah Care Malaysia, Mohd Nizam Abd Hamid dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, Ahmad Rosidi Mohamad.
Mohd Daud berkata, karnival MAIWP 2023 akan diadakan selama dua hari menjelang 28 hingga 29 Januari 2023 dengan kerjasama Naurah Care Malaysia bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Antara program yang disediakan sempena dua hari karnival tersebut ialah pembukaan 100 booth atau reruai usahawan asnaf, pempengaruh (influencer), selebriti anak-anak syarikat MAIWP dan agensi-agensi yang terlibat dalam Karnival Usahawan dan Pendidikan; dan MAIWP RUN yang akan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAIWP bermula jam 7 pagi pada 29 Januari 2023.

Selain itu, turut dianjurkan Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP yang melibatkan 100 pasangan pengantin terpilih daripada golongan asnaf dan B40 di Wilayah Persekutuan dan majlis penyampaian Anugerah Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf MAIWP.
Sehubungan itu, beliau berkata MAIWP turut berbesar hati apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan Karnival MAIWP 2023 pada 28 Januari 2023.
“Turut dijemput hadir meraikan karnival pada hari tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Pada hari tersebut juga, Baginda Sultan akan menyampaikan Anugerah Ikon Usahawan MAIWP dan Ikon Pendidikan MAIWP kepada calon yang terpilih sebagai motivasi dan pemangkin semangat asnaf untuk meneruskan kecemerlangan,” jelasnya.

Justeru pada 29 Januari 2023 pula akan berlangsungnya Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP yang melibatkan 100 pasangan pengantin yang terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf.
“Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Majlis gilang gemilang itu bertemakan Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam bagi meraikan pasangan mempelai dan sudah pastinya bakal memahat memori indah dan kenangan termanis buat para pengantin.
“Setiap pasangan diberikan sepersalinan pakaian pengantin bagi setiap seorang iaitu lengkap dengan perhiasan bagaikan sang raja sehari, dan turut menerima sumbangan tambahan wang tunai RM2,000 setiap seorang,” jelasnya.

Mohd Daud turut memberitahu, pada 29 Januari 2023 juga, turut diadakan program MAIWP Run dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP.
“Perasmian Pelepasan akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Program MAIWP Run disasarkan penyertaannya seramai 10,000 peserta yang terdiri dalam kalangan pembayar zakat, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), penghuni rumah-rumah perlindungan dan maahad tahfiz, anggota badan beruniform serta orang awam.
“Laluan akan bermula di Dataran DKBL pada jam 7 pagi dan tamat di Dataran Merdeka. Peserta boleh memilih untuk berjalan secara santai atau berlari dalam dua kategori laluan iaitu sejauh tiga kilometer atau lima kilometer yang akan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdulrahman,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu karnival MAIWP 2023 yang akan berlangsung itu juga turut diserikan dengan persembahan hiburan barisan artis nasyid popular.
Antaranya Raihan, Rabbani, In Team, Aydan dan Nada Murni 2, yang mana artis jemputan ini dibawakan khas dengan inisiatif dan tajaan pengurus acara Karnival MAIWP 2023 iaitu Naurah Care Malaysia.
“Oleh itu, saya mewakili MAIWP sangat berbesar hati menjemput semua warga Wilayah Persekutuan dan di negeri-negeri lain juga untuk bersama-sama hadir di Karnival MAIWP 2023 yang akan diadakan pada 28 hingga 29 Januari 2023 kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2022




















