
MACHU PICCHU, Peru: Beratus-ratus pelancong asing telah terkandas di wilayah Machu Picchu yang terkenal sebagai pusat pelancongan selepas perkhidmatan kereta api dihentikan buat sementara, susulan protes ganas orang awam berikutan penyingkiran dan penahanan bekas Presiden Peru, Pedro Castillo.
Darurat diisytiharkan lebih awal pada Rabu (14 Dis) waktu tempatan ketika penyokong Castillo turun ke jalan-jalan raya dan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara sebagai protes terhadap Presiden baharu, Dina Boluarte yang setakat ini telah menyebabkan tujuh orang maut dan 200 cedera, lapor AFP.
Kenyataan kerajaan Peru berkata, hampir 800 pelancong dari pelbagai bangsa dan negara telah terkandas sejak Selasa (13 Dis) lalu di bandar di dasar gunung, yang mana Machu Picchu merupakan tarikan paling penting dalam pelancongan Peru, lokasi di mana tapak Warisan Dunia UNESCO terletak.
Seorang pelancong Belgium, yang hanya ingin dikenali sebagai Walter, berkata bahawa dia tidak tahu bagaimana boleh pulang ke ke negaranya jika dia tidak dapat kembali ke Cusco untuk menaiki penerbangan ke Lima.
Perkhidmatan kereta api yang menghubungkan kuil Incan dengan Cusco, ibu kota empayar purba, adalah satu-satunya cara untuk ke Machu Picchu, yang jaraknya kira-kira 110 kilometer jauhnya.
Perkhidmatan kereta api tersebut dihentikan bermula pada Selasa (13 Dis) ketika pertubuhan Orang Asli dan Agraria menggesa mogok tanpa had sebagai sebahagian daripada protes yang bermula Isnin (12 dis) di Cusco, dengan perarakan dan serangan ke atas hafrta awam; dan percubaan untuk mengambil alih lapangan terbang antarabangsa di bandar itu.
Sehubungan itu, Datuk Bandar, Darwin Baca meminta bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Peru untuk mencari helikopter untuk membantu memindahkan pelancong dari Amerika Syarikat, Mexico dan Sepanyol.
Negara itu terjerumus ke dalam krisis minggu lalu apabila Castillo cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri, tetapi dengan cepat dicabar oleh penggubal undang-undang sebelum beliau ditangkap.
Presiden baharu, Boluarte, telah bergelut untuk meredakan ketegangan, dan kini telah menggesa pilihan raya akan datang – lazimnya pada 2026 – dibawa ke hadapan ke Disember 2023, selepas tawaran awal untuk mengadakan pilihan raya pada 2024 gagal menghentikan protes rakyat. – HARAKAHDAILY 16/12/2022




















