Deklarasi 70 Profesor Melayu tindakan terdesak

- Advertisement -

TERDAPAT 10 masalah besar di dalam tindakan sekumpulan 70 individu yang menggelarkan diri mereka sebagai 70 Profesor Melayu (G70) membuat deklarasi bagi menyokong Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bakal Perdana Menteri.

- Advertisement -

Pertamanya, seperti yang disebutkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN), jumlah 70 Profesor ini adalah tidak representatif kepada seluruh Profesor kerana 70 ini hanya berjumlah 2.3 peratus daripada lebih 3,000 Profesor dari Universiti Awam dan Swasta yang ada di negara ini.

Bilangan 70 Profesor ini jauh lebih kecil berbanding ramai Profesor lain yang lebih hebat yang pernah membuat pernyataan dan seruan yang jauh berbeza dari G70, khususnya yang menyokong gabungan politik yang mengekalkan dominasi Melayu Islam di negara ini.

Keduanya, tidak ada bukti yang kukuh bahawa kesemua 70 Profesor ini menyokong Anwar kerana yang hadir di dalam sidang media hanya sebahagian kecil sahaja, tidak sampai 15 orang, manakala kertas edaran yang disertakan tidak mengandungi tandatangan setiap mereka.

Malah, sejurus deklarasi ini diumumkan, terus sahaja dua daripada mereka, iaitu Profesor Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dan Profesor Dr. Ishak Yussof, menyatakan mereka tidak terlibat di dalamnya dan menarik diri daripadanya kerana diberikan maklumat tidak betul.

Ketiganya, timbul persoalan mengenai kewibawaan Profesor ini yang sebahagian besarnya sudah bersara daripada perkhidmatan baik di Universiti Awam atau Swasta tetapi terus menggunakan gelaran Profesor sedangkan gelaran itu hanya boleh diguna sewaktu berkhidmat.

Malah, salah seorang daripada mereka yang dipetik namanya, iaitu Profesor Dr. Ishak Yussof, secara terang-terang menyebut di dalam kenyataan beliau bahawa beliau telah pun bersara daripada perkhidmatan dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran Profesor.

Keempatnya, G70 ini juga dilihat tidak berwibawa kerana bersifat partisan di mana nama-nama yang tercatat di dalamnya sememangnya merupakan penyokong kuat Anwar sejak sediakala lagi dan tegar berjuang bersama Anwar, khususnya melalui pertubuhan ABIM dan PKR.

Nama-nama seperti Profesor Dato’ Dr. Mohd. Nor Manuty, Profesor Dr. Razali Nawawi, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Redzuan Othman dan Profesor Dr. Mohd. Nor Nawawi umpamanya mempunyai kaitan langsung dengan Anwar baik di dalam pertubuhan ABIM mahupun PKR.

(Mereka mendapat pelbagai manfaat daripada PKR atau institusi di bawah kawalan Kerajaan PKR Selangor, malah Dr. Mohd. Nor Manuty khususnya pernah bertanding atas tiket PKR pada PRU11 dan PRU12 selain pernah memegang pelbagai jawatan di dalam PKR.)

Kelimanya, deklarasi yang dibuat oleh G70 ini adalah sesuatu pernyataan dan seruan yang menyentuh soal pilihan raya dan pembentukan kerajaan yang bersifat politik sedangkan hanya seorang daripada ahli G70 ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains politik.

Malaysia mempunyai ramai pakar dalam bidang sains politik, termasuk ada yang bergelar Profesor Ulung dan Profesor Emeritus, jadi bila hanya seorang sahaja daripada mereka yang menyatakan sokongan kepada Anwar maka ini menunjukkan Anwar bermasalah.

Keenamnya, bagi Profesor yang masih berkhidmat di Universiti Awam, pernyataan dan seruan mereka bercanggah dengan Peraturan 21 (I), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang mereka mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Mereka sepatutnya tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti politik selain tidak boleh terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon PRU, termasuk calon Perdana Menteri.

Ketujuhnya, hujah-hujah yang digunakan oleh G70 untuk menyokong Anwar adalah terlalu rapuh, khususnya bahawa Anwar merupakan pilihan terbaik sebagai Perdana Menteri untuk menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi di negara ini.

Hampir tiada langsung janji untuk menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi di negara ini di dalam Tawaran PH dalam PRU15, kecuali hanya janji memperkasa institusi kehakiman syariah untuk menjaga hak wanita dan kanak-kanak.

Kelapannya, G70 langsung gagal mengulas kenyataan berulang-kali Anwar, pada 17 Mei 2018, 15 September 2018, 9 Oktober 2018, 25 Mac 2019 dan 12 Julai 2019 bahawa dasar-dasar pro-Melayu mesti dihapuskan dan digantikan dengan dasar-dasar berasaskan keperluan.

Penegasan ini pernah mengundang kritikan tajam mantan ketua staf di pejabat beliau sendiri, Ibrahim Yaacob, yang meramalkan bahawa Anwar akan terus bermimpi tetapi tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana hasrat beliau mahu menghapuskan dasar-dasar pro-Melayu.

Kesembilannya, G70, di dalam kenyataan Profesor Dr Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi, membawa satu pandangan yang bercanggah dengan pendirian umat Islam, iaitu naratif bahawa satu agama itu adalah lebih baik atau lebih utama boleh merosakkan aspek negara bangsa.

Pluralisme agama ini, iaitu bahawa tidak ada kebenaran mutlak dalam agama, pernah diutarakan oleh Anwar di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010 dan ditolak keras oleh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Kesepuluhnya, sepertimana golongan tertentu kerap diserang kerana dikatakan menunggang agama dan kaum, tindakan G70 ini juga mendedahkan mereka kepada serangan betapa mereka menunggang dan menyalahgunakan gelaran Profesor untuk kepentingan partisan mereka.

Malah, seperti disebutkan oleh Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican, G70 ‘terperangkap dan bersifat bongkak dan sombong dengan pangkat dan gelaran’ serta ‘menunjukkan mentaliti yang amat parochial serta sikap bebal yang anti kecendekiawanan dan anti kesarjanaan’.

Sesungguhnya adalah sesuatu yang amat memalukan bagi G70 untuk menyalahgunakan gelaran atau membiarkan diri dipergunakan sebagai satu tindakan desperado pihak yang terlalu bimbang dengan fakta bahawa mereka tiada sokongan daripada para pengundi Melayu Islam.

PROFESOR DR MOHD ROSLAN MOHD NOR
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya, merangkap Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -