
TANGGA BATU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengimbas situasi semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan di zaman Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990-an dahulu.
“Berapa tahun jadi Menteri Kewangan? Kononnya dia rapat dengan Bank Dunia. Apa boleh buat dengan Bank Dunia? Saya tahu Tun Mahathir sangat marah kerana dia ambil pinjaman Bank Dunia, buat pinjaman.
“Pinjaman mudah je, tapi interest dia, terikat Malaysia. Tun Mahathir panggil ahli-ahli ekonomi Malaysia selesaikan masalah. Menteri Kewangan tak boleh selesai. Macam mana nak selesai ekonomi dulu,” ujarnya.
Kenyataan itu sebagai reaksi kepada media yang menyatakan penyokong Pakatan Harapan (PH) mahu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri supaya dapat memulihkan ekonomi dan kewangan dengan baik.
Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) itu juga bahkan membidas PH yang memerintah hampir dua tahun yang tidak membuat perubahan kepada aspek ekonomi dan kewangan di bawah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menjawab tuduhan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan ditadbir Taliban, katanya DAP tidak tahu mengenai Taliban yang merupakan pelajar-pelajar pondok penentang Amerika hingga kuasa besar itu kalah dan marah.
“Taliban ini budak pondok yang tak tahu memerintah, tak tahu nak buat sekolah, tak tahu apa. PAS memerintah Kelantan tak tutup sekolah. Perintah Terengganu, perintah Kedah. Orang Kelantan paling banyak pergi universiti.
“Jadi, tak payahlah (nak tuduh begitu). Yang kita tahu dalam, dalam DAP ada Komunis, ada Komunis,” ujarnya selepas Santai Petang sempena Jelajah Presiden PAS di Cheng, di sini petang tadi.
Beliau sempat mengulangi pantun telah disebutnya dalam program di Negeri Sembilan semalam, iaitu:
Dari Terengganu pergi Seremban,
Sambil bawa kayu tempinis,
Kamu tuduh kami Taliban,
Dalam kamu ada Komunis.
Manakala mengulas kononnya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyinggung perasaan berhubung isu wanita tidak layak menjadi calon, kata beliau itu ulasan dalam konteks di Sik.
“Kenyataan dia khusus bagi daerah Sik saja. Kawasan pedalaman. Kawasan pedalaman memerlukan orang-orang yang sanggup menghadapi cabaran, kawasan banjir besar, kawasan hutan, macam jabatan-jabatan kerajaanlah, kita nak lantik kaum wanita?
“Tak boleh lantik jadi Pengarah kena masuk hutan. Tak boleh lantik jadi jawatan-jawatan tak sesuai dengan wanita. Boleh lantik hal pendidikan, pelajaran, (atau di) kawasan-kawasan bandar. PAS pun lantik calon wanita. Ramai di Kelantan, di Kedah ada, Terengganu ada calon wanita.
“Dan PAS bersama memenangkan calon wanita tahun 1960, Khadijah Siddiq, Ahli Parlimen PAS wanita yang pertama,” jelas beliau.
Berhubung isu PAS dikatakan kahwin muta’ah dengan BERSATU, Tuan Guru menyatakan bahawa kerjasama itu adalah bersungguh-sungguh di mana pembahagian kerusi tidak berlaku pergaduhan.
Malah katanya, tiada pimpinan parti itu terpaksa beralih tempat bertanding atau berpindah ke tempat lain, sepertimana Anwar yang ke Tambun. – HARAKAHDAILY 14/11/2022




















