
KUALA LUMPUR: Rakyat diseru membuka peluang dengan memberikan mandat kepada PERIKATAN NASIONAL memerintah Malaysia selama satu penggal selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menilai parti gabungan itu.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata PERIKATAN NASIONAL wajar diberikan peluang mentadbir negara bagi membuktikan prestasi parti itu yang bersih daripada sebarang salah laku.
“Slogan kita bersih dan stabil, bersih dan aman, itu tujuan kita, kita buktikan kerajaan bersih sebagai contohnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah kita memerintah tak ada rasuah, tak ada salah laku,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, dalam tempoh PAS berada dalam kepimpinan negara selama selama dua tahun, tiada sebarang salah laku, namun sebaliknya berlaku salah laku semasa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memerintah.
“Kita memerlukan suatu perubahan, mari kita bersama bergabung, bersatu sokong PN untuk buat kerjasama kerana kita ada hak melalui pilihan raya,” katanya pada majlis ramah mesra Presiden PAS bersama calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar di Dataran PPR Pantai Ria, di sini, semalam.
Menurutnya, PN boleh ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gagal membuktikan pentadbiran yang bersih dan stabil.
“Kita minta tolak PH, rehatkan Barisan Nasional. Barisan Nasional boleh rehat dulu, berikan peluang kepada kami. Mari sokong calon-calon kita, menangkan mereka dan insha-Allah kita boleh melihat perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2022




















