
PARIT: PERIKATAN NASIONAL (PN) tekad menjulang sektor agromakanan, rekreasi dan pelancongan yang sedia wujud dalam Parlimen Parit ke tahap lebih baik demi kemajuan setempat dan kesejahteraan penduduk.
Calon PN P.069 Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tawaran tersebut akan beliau bawa bersama calon PN N.39 Belanja, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin dan calon PN N.40 Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad.
“Parit seperti yang kita tahu, terkenal dengan ternakan sangkar ikan air tawar, ada pusat ternakan ayam kampung, kaya dengan durian, dan pelbagai produk tempatan. Jadi kita boleh usahakan penubuhan satu konsortium khas.
“Konsortium khas ini akan berperanan untuk membantu pemasaran dan meningkatkan hasil pendapatan, sekali gus menjana peluang pekerjaan dengan lebih banyak di kawasan kita ini,” ujar Pengerusi PN Parit itu.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan 29 tawaran istimewa dan khusus untuk penduduk setempat sekiranya diberikan mandat mewakili kerusi Parlimen dan dua DUN tersebut pada PRU15 yang akan membuang undi Sabtu depan.
Beliau selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak membentangkan tiga teras utama tawaran tersebut yang menjadi ikrar dan komitmennya bersama Meor dan Dr Najihah.
Tawaran tersebut meliputi agenda Kecekapan Tadbir Urus, Membangun Ekonomi Setempat, dan Pembangunan Sosial dan Modal Insan, selain untuk menaik taraf beberapa kemudahan penting di kawasan itu.
Antaranya juga termasuklah infrastruktur jalan raya utama, liputan rangkaian telekomunikasi, prasarana sukan, dan lain-lain kemudahan sebagai memenuhi keperluan penduduk tempatan dan meningkatkan kesalinghubungan.
“Tawaran ini dari rakyat untuk rakyat. Kerana kami juga rakyat, dan agenda ini adalah untuk kepentingan dan kebajikan kita bersama,” jelas beliau lagi.
Kerusi Parlimen dan dua DUN di sini menyaksikan pertembungan empat penjuru bagi semua kerusi, di mana Barisan Nasional (BN) selaku penyandang berdepan saingan Pakatan Harapan (PH) dan PEJUANG selain PN. – HARAKAHDAILY 11/11/2022























