
Susunan NORHANA MAT ZIN
TEHRAN: Seorang penyendiri atau pertapa Iran yang juga popular dengan label ‘lelaki paling kotor di dunia’ kerana tidak mandi selama lebih setengah abad, meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Lelaki bernama Amou Haji yang mengalalami fobia terhadap air dan tidak mandi selama lebih 60 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 23 Oktober lepas di kampung Dejgah di wilayah selatan Iran Fars, lapor The Guardian.
Amou Haji dikatakan enggan menggunakan sabun dan air selama lebih setengah abad kerana bimbang dirinya akan ditimpa kesakitan.
Warga Iran itu tinggal di wilayah selatan Fars, mengelak percubaan sebelumnya oleh penduduk kampung untuk membersihkan tubuhnya.
Namun, media tempatan melaporkan bahawa Amou Haji akhirnya tunduk kepada tekanan dan badannya telah dicuci beberapa bulan lalu.
Menurut agensi berita Iran, IRNA, lelaki itu jatuh sakit tidak lama kemudian dan meninggal dunia pada hari Ahad lalu.
Gemar makan landak
Dalam temu bual sebelum ini, yang dilakukan oleh Tehran Times pada 2014, dia mendedahkan makanan kegemarannya adalah daging landak.
Tempat tinggalnya pula di dalam lubang tanah dan pondok bata yang dibina oleh jiran yang prihatin di kampung Dejgah.
Kecelaruan emosi yang dihadapinya pada zaman muda menyebabkan dirinya berada dalam keadaan luar biasa itu.
Menurut IRNA lagi, selepas bertahun-tahun Amou Haji tidak mandi menyebabkan kulitnya dilitupi ‘jelaga dan nanah’.
Sementara dietnya terdiri daripada daging busuk dan air tidak bersih yang diminum daripada tin minyak lama.
IRNA turut melaporkan bahawa setakat ini tidak diketahui sama ada Amou Haji mempunyai keluarga atau tidak, namun begitu, penduduk kampung tetap berusaha menjaganya sebelum ini.
Amou Haji juga dikatakan gemar merokok dan digambarkan sekurang-kurangnya satu kali menghisap lebih daripada sebatang rokok secara sekali gus.
“Namun, percubaan masyarakat setempat untuk memandikannya atau menawarkan air bersih kepadanya, membuatnya dirinya sedih,” lapor agensi berita itu. – HARAKAHDAILY 26/10/2022




















