Rasuah: Siapa ‘suap’ Melayu makan?

- Advertisement -

BANGSA Melayu pernah dan masih terpalit dengan beberapa persepsi yang salah. Persepsi ini wujud di dalam dan di luar kelompok etnik Melayu. Salah satu persepsi yang berlegar sekian lama adalah bangsa Melayu ialah bangsa yang malas.

Frank Sweetenham, pegawai kolonial British di Malaya dalam travelog beliau, Malay Sketches (1895)menyebutkan; ‘The Malays are lazy and careless and would not take pain. A Malay considers that he has done all that is necessary’.

Ulasan tersebut telah membentuk dasar pemerintahan Inggeris di Malaya pada ketika itu termasuk mengekalkan orang Melayu di kampung dalam kemiskinan dan tanpa peluang pendidikan.

Peluang ekonomi dan pendidikan lebih dinikmati oleh bangsa ‘pendatang’ ketika itu khasnya bangsa Cina secara meluas di bandar-bandar besar.

Jurang perbezaan dalam taburan pemilikan dan kekayaan di Malaya antara etnik pada ketika itu dan kesannya kepada dasar ekonomi dan sosial telah diteliti oleh Dr Muhammad Khalid dalam buku beliau The Colors of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia (2013).

Bangsa Cina telah menguasai dan menikmati pai ekonomi terbesar sejak era Malaya biarpun sebagai minoriti hasil daripada dasar pemerintahan British di Tanah Melayu.

Polarisasi ekonomi antara kaum menjadi salah satu faktor yang mencetuskan tragedi 13 Mei 1969 sehingga Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1971.

Naratif Melayu Bangsa Malas ini telah dijawab oleh Professor Syed Hussein Alattas pada tahun 1977 dalam buku the Myth of the Lazy Native.

Beliau cuba meluruskan pandangan serong British terhadap ‘Melayu Malas’ secara teliti dan terperinci bahawa naratif tersebut bukan sahaja terpalit kepada bangsa Melayu bahkan bangsa Filipino di Filipina dan orang Jawa di Indonesia.

Naratif peribumi pemalas yang dicetuskan ketika era kolonial adalah satu gerak prejudis yang bersifat projek politik oleh para penjajah Barat.

Cerminan salah bahawa bangsa peribumi di rantau ini sebagai bangsa culas, membosankan, mundur dan khianat adalah usaha penjajah menjustifikasikan penjajahan mereka.

Penjajah Barat – Inggeris, Belanda dan Sepanyol menganggap bangsa peribumi memerlukan ‘tempat bergantung’ dan ‘bantuan’ untuk mendaki tangga kemajuan. Pandangan meremehkan bangsa selain Barat ini tidak pelik.

John Stuart Mill pada 1859 dalam buku On Liberty menyebutkan bahawa kebebasan hanya terpakai kepada bangsa yang bertamadun.

Bangsa yang bersifat gasar atau ‘barbaric’ seperti di Timur tidak patut menikmati nilai kebebasan seperti di Barat.

Jelas bahawa persepsi atau mitos bangsa malas ini telah menjadi satu naratif yang begitu panjang hingga telah dianggap satu realiti.

Bahkan tokoh pemimpin Melayu seperti Tun Dr Mahathir acap kali menyebut bahawa Melayu malas sehingga kini (kali terakhir di Kongres Maruah Melayu pada 2019).

Tidak cukup dengan itu, bangsa Melayu sejak lebih tiga dekad ini terpalit secara berat sebagai bangsa yang mengamalkan rasuah atau bangsa rasuah.

Soalnya adakah rasuah hanya menjadi sinonim dengan bangsa Melayu sahaja? Adakah naratif Melayu Malasmenjadi pencetus kepada bangsa rasuah?

Sabda Nabi S.A.W menyebutkan:

- Advertisement -

‌لَعَنَ ‌رَسُولُ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِي ‌وَالْمُرْتَشِي.

“Rasulullah S.A.W telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.” 

(Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan lain-lain)

Agama Islam bukan sahaja melaknat penerima bahkan juga pemberi rasuah. Bak kata pepatah Melayu, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Namun, acap kali ketika sabitan hukuman kes menerima rasuah di Malaysia, bangsa Melayu khasnya dalam sektor perkhidmatan awam akan mendapat liputan dan perhatian meluas.

Perkara ini mungkin tidak pelik kerana bangsa Melayu ialah majoriti yang juga merupakan kakitangan awam teramai, namun ia bukan alasan untuk menghalalkan rasuah.

Bangsa Melayu harus melihat rasuah sebagai lebih maksiat daripada berkhalwat dan lebih jijik daripada memakan babi.

Akan tetapi undang-undang di Malaysia hanya menjenayahkan penerima rasuah dan bukan pemberi rasuah (melainkan ada laporan cubaan suapan).

Oleh kerana itu banyak wacana ilmiah, debat politik, perbincangan awam di media massa dan media sosial sering sekali serong dalam menilai isu rasuah.

Tidak hairan ramai berpandangan budaya rasuah sudah menjadi darah daging bangsa Melayu sahaja. Seolah jika bangsa Melayu ‘dicampak’ keluar daripada pentadbiran dan jentera daulah, maka Malaysia akan menjadi negara bebas rasuah.

Walhal sering kali terjadi hanya penerima rasuah sahaja terpapar di muka depan tetapi pemberi rasuah terus tidur lena kesedapan.

Soalnya siapakah pemberi rasuah di Malaysia? Sebuah makalah akademik oleh Chong et. al. (2017) bertajuk The Size and Costs of Bribes in Malaysia: An Analysis Based on Convicted Bribe Givers yang diterbitkan dalam Asian Economic Papers terbitan Earth Institute of Colombia University and Massachuchetts Institute of Technology (MIT) mendapati bahawa 57.46 peratus daripada pemberi rasuah di Malaysia ialah bangsa Cina, 30.51 peratus ialah bangsa India dan lain-lain dan bangsa Melayu hanya mencatatkan 12.03 peratus sebagai pemberi rasuah.

Linkhttps://doi.org/10.1162/ASEP_a_00487

Maka, Cina (India dan lain-lain) suap, Melayu ngap! It takes two (or more?) to tango. Jelas sekali bahawa rasuah bukanlah ‘citra budaya’ bangsa Melayu kerana bangsa lain juga terlibat bahkan dalam skala lebih mega.

Maka relevankan persepsi dan naratif ‘kemalasan Melayu’ menjadi punca amalan rasuah di Malaysia? Jika naratif bangsa malas diterjemahkan kepada natijah kelas ekonomi terpinggir, maka rakan sebangsa yang rajin dan berjaya lain sudah pasti tidak terlibat rasuah.

Namun apa yang terjadi, golongan profesional dan kolar putih di Malaysia lebih ramai (lebih 30 peratus) yang terlibat memberi dan menerima rasuah dengan nilai yang berganda lebih besar berbanding bilis-bilis yang lebih tak berharta atau miskin (baca: ‘malas’).

Saya berpandangan dalam konteks Malaysia, punca rasuah yang utama bukanlah berhubung dengan status sosial apatah lagi ‘indeks kemalasan’, namun kerana penyusutan nilai kepercayaan kepada kehidupan bertuhan dan beradab.

Anak bangsa Malaysia pada hari ini berinteraksi dengan dunia mereka seolah hal duniawi mereka terpisah dengan hari pembalasan akhirat.

Bahkan Professor Syed Naquib Alattas dalam wacana beliau mengenai The Loss of Adab menjelaskan bahawa kehilangan adab menjadi punca kejatuhan peradaban kerana Muslim sudah hilang disiplin jasmani, akal dan rohani.

Natijahnya, individu Muslim sudah hilang rasa malu untuk berbuat jahat dan mereka akan dipimpin oleh pemimpin yang sama bahkan zalim.

Maka, persoalan nasional yang perlu mula diwacanakan adalah melalui penekanan dan penghayatan nilai Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan seperti dalam Rukun Negara.

Asas ini perlu menjadi teras terhadap pemurnian semula citra bangsa Malaysia yang telah rosak akibat kerapuhan jiwa menongkah arus pemodenan pasca kemerdekaan.

Tun Abdullah Badawi ketika era Islam Hadhari mengambil serius aspek keseimbangan pembangunan spiritual dalam jiwa bangsa Malaysia supaya bukan sahaja berilmu tetapi juga beradab dan berintegriti.

Agenda membanteras rasuah umpamanya telah diberikan perhatian yang sangat serius oleh Pak Lah sehingga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berjaya dibentangkan dan diwartakan ketika itu.

Namun, adakah generasi pewaris kepimpinan hari ini masih menghayati perjuangan beliau melawan rasuah? Kita doakan agar kita semua terus diberikan kekuatan untuk berbuat taat kepada Allah.

Sewajarnya acuan pembangunan jiwa anak bangsa dan kepimpinan harus kembali kepada metod leluhur kita melalui pembentukan jiwa yang bertuhan (tauhid ihsan) yang cintakan watan (tanah air) serta bermuafakat dalam kebaikan secara kasih sayang (mahabbah) sesama insan tanpa mengira kaum dan agama.

Semoga Allah merahmati bangsa Malaysia,

IBN ZABĪDĪ AT-TIRŌMI
Bertam – HARAKAHDAILY 12/9/2022

p/s: Hati-hati kerana jutaan duit sudah mula berselerakan mencari Melayu Kayangan bagi menjayakan projek industri di Bertam.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -