
Oleh ZULHAIDI MANSOR dan YUSMAN AWANG
SHAH ALAM: Sebahagian besar, merangkumi lebih 60 peratus daripada kawasan seluas 406.22 hektar di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) yang terbaharu dibenarkan untuk penyahwartaan adalah merupakan kawasan sensitif alam sekitar.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean berkata, kawasan alam sekitar yang dilabelkan sebagai sensitif di hutan simpan berkenaan adalah dalam skop habitat haiwan liar yang dilindungi, kawasan tadahan air, kawalan banjir, suhu, udara bersih, selain sebagai benteng semula jadi daripada ancaman cuaca ekstrem yang dijana perubahan iklim.
Menurutnya, penyahwartaan atau ‘pembersihan’ HSKBC atau Bukit Cerakah di Shah Alam itu dikhuatiri bakal menyebabkan timbul banyak masalah di kemudian hari, khususnya terhadap keselamatan penduduk yang menetap di kawasan berhampiran.
Selain banjir, penyahwartaan HSKBC dikhuatiri berkeupayaan mencetuskan ‘pakej’ kejadian tanah runtuh yang kini melanda beberapa negara di seluruh dunia, yang paling buruk berlaku di Pakistan ketika ini.
“Masalah akan timbul daripada tindakan pennyahwartaan HSKBC secara berterusan yang boleh menyebabkan berlaku pencemaran dan kehilangan khazanah alam yang sangat penting.
“Ini kerana khazanah alam HSKBC diperlukan sebagai benteng semula jadi daripada ancaman cuaca ekstrem dijana oleh fenomena perubahan iklim, yang kini mengancam keselamatan dan cara hidup rakyat negeri Selangor,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Tambah beliau, walaupun kerajaan negeri Selangor tidak mendokumentasikan secara rasmi, namun kesedihan dan kesukaran dialami rakyat Selangor sudah terbukti sebelum ini.
“Buktinya adalah daripada catatan statistik ‘pelarian’ (atau mangsa) dan kematian akibat banjir pada Disember 2021, yang hanya dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim (sedangkan ia sebenarnya juga berkait dengan langkah proaktif pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar),” jelasnya.
Polemik tersebut, ujar Damien, sebenarnya adalah merupakan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri Selangor sejak tahun 2008 sehingga kini, untuk menyiasat elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam penyahwartaan hutan-hutan simpan negeri, menarik balik pemilikan tanah yang berskandal dan mengazetkan semula status hutan simpan kesemua kawasan yang terlibat.

“Hal ini berterusan walaupun Usul 16 yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Tuan Najwan Halimi telah mendapat sokongan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk memelihara dan memulihara khazanah alam negeri itu bagi menjamin bekalan air, meminimumkan bencana akibat kehilangan (akibat nyahwarta) hutan dan memastikan pengekalan udara yang bersih,” tegasnya.
Beliau berkata, sikap pentadbiran negeri Selangor sebelum ini dalam mengendalikan isu HSKBC dilihat oleh Peka seolah-olah tidak menunjukkan yang ia peka dalam meletakkan kepentingan dan kehendak orang awam sebelum apa-apa keputusan (khususnya berkenaan penyahwartaan HSKBC) dibuat.
“Tindakan terbaharu kerajaan negeri Selangor berhasrat meneruskan penyahwartaan HSKBC juga telah mencabar Semakan Kehakiman Peka yang kini sedang berjuang menyelamatkan hutan simpan berkenaan,” tegasnya.

Terdahulu, pada 11 Ogos 2022, Peka dan sebuah lagi NGO alam sekitar tempatan, Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SCAF) telah berjaya mendapat perintah kebenaran Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menangguhkan sementara tindakan kerajaan Selangor meneruskan nyahwarta bagi tujuan pembangunan di HSKBC.
Sehubungan itu, mahkamah berkenaan telah menetapkan tarikh 28 September 2022 ini untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh kedua-dua Peka dan SCAF.
Kedua-dua NGO alam sekitar berkenaan sebelum itu telah memfailkan permohonan berkenaan bagi mencabar keputusan yang dibuat pada 20 November 2020 oleh kerajaan negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling untuk menyahwartakan hutan simpan berkenaan.
HSKBC selama ini tidak berhenti daripada diancam isu nyahwarta, khususnya selepas pewartaan terbaharu terhadap kawasan seluas 460.22 hektar berkenaan diumumkan kerajaan negeri Selangor pada 5 Mei 2022 itu yang bakal merekodkan HSKBC dinyahwartakan sebanyak 22 kali sejak 1924.

Pada Mei lalu itu, tular berita bahawa kawasan di Seksyen U10, HSKBC berkenaan telah diwartakan penyahwartaaan yang didakwa dilakukan tanpa proses pendengaran awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negeri Selangor (EAPN) 1985.
Mengikut laporan media sebelum ini, EAPN telah dipinda oleh kerajaan negeri Selangor pada 2011.
Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Selangor dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pewartaaan 5 Mei 2022 berkenaan adalah bagi melengkapkan proses nyahwarta dalam senarai ‘backdated’ yang terhenti pada 2006.
Hakikatnya, saiz hutan simpan berkenaan dilihat semakin mengecil memandangkan dalam tempoh 96 tahun dari 1924 hingga 2020, ia telah mengalami penyahwartaan sebanyak 21 kali.
Dalam kenyataan media pada 24 September 2021, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri Selangor, Hee Loy Sian mengakui bahawa keluasan HSKBC berkurangan kepada kira-kira 1,298.86 hektar sejak kali pertama diwartakan sebagai hutan simpan pada 1990, yang ketika itu mempunyai keluasan mencecah 9,642 hektar.

Antara faktor pengecilan keluasan asal HSKBC itu ujar Hee, adalah disebabkan beberapa projek pembangunan sejak 1976, termasuk Bandar Puncak Alam, Alam Budiman dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor.
Dalam pada itu, media tempatan FMT semalam melaporkan Amirudin telah dikecam susulan kenyataan beliau kelmarin bahawa perancangan kerajaan negeri Selangor terhadap HSKBC itu adalah bagi mengelakkan risiko dikenakan tindakan undang-undang oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di situ.
Dalam kenyataannya itu, Amirudin menegaskan jika pihaknya tidak meneruskan pewartaan berkenaan, kerajaan negeri Selangor akan berdepan ‘saman sebab kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan kerajaan negeri Selangor terdahulu’.
Kerajaan negeri Selangor, ujarnya, tiada pilihan lain kecuali bersedia membayar ganti rugi sambil menyatakan bahawa, biarpun penyahwartaan 5 Mei 2022 itu diteruskan kelak, pihaknya tidak akan menghalalkan projek yang telahpun dimulakan sebelum penyahwartaan dilakukan.
Naib Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat) itu menambah bahawa anak syarikat negeri yang mempunyai kepentingan dalam HSKBC akan diminta agar tidak meneruskan projek pembangunan, kecuali yang membabitkan kepentingan awam seperti pembinaan jalan raya dan tanah perkuburan.
Sehubungan itu, Damien dalam kenyataannya dilaporkan menegaskan, kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Amirudin ketika ini perlu melakukan penyiasatan terhadap salah laku pentadbiran (kerajaan negeri) terdahulu itu, dan bukannya tunduk untuk ‘membantu pihak yang salah’. – HARAKAHDAILY 7/9/2022




















