
ALOR SETAR: Ahli-ahli PAS diharap mendukung gagasan menjadi dominasi kepada isu-isu pembelaan melibatkan alam sekitar, demikian seru Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Dunia sedang bicarakan soal perubahan iklim yang sangat serius dan kita tahu bagaimana kesan perubahan iklim yang berlaku ini menyebabkan dia akan mengganggu sekuriti makanan negara.
“Dia akan mengganggu seluruh infra kepanasan global dan meningkatkan suhu dunia yang kesannya banjir hujan tidak menentu dan semua,” ujar beliau dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-68, di sini sebentar tadi.
Kata beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), antara sering dipesannya adalah supaya isu-isu alam sekitar, pencemaran, toksik dan pembuangan sampah tidak terurus ditangani dengan sebaiknya.
“Ini kesan direct kepada kita, dan kehidupan kita. Berpuluh loji terpaksa ditutup kerana pelanggaran kepada sistem dan pencemaran punca-punca minuman kita. Ini sangat serius. Sebab itu saya fikir bahawa di peringkat negeri, kawasan, kita perlu lead isu-isu alam sekitar.
“Jangan kita hanya menjadi pemerhati kepada apa yang berlaku, sebab saya tengok gagasan alam sekitar ini gagasan yang betul-betul menepati apa yang Allah gariskan dalam Quran, dan apa yang Nabi S.A.W pandukan kita dalam Hadis,” ujarnya.
Menyentuh aspek pemerkasaan parti, beliau mengingatkan perlunya semua PAS Kawasan dan Negeri mempunyai pelan tindakan, selain disenaraikan Parlimen fokus untuk dipantau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Sasaran untuk menang menurutnya, perlu disertakan ‘roadmap’ dan pelan strategi, bersama pemantauan berterusan dengan kekuatan atau Kunci Indeks Pencapaian (KPI) yang boleh diukur.
Sehubungan itu beritahunya, pemerkasaan dan pemantauan 80 kerusi Parlimen berpotensi akan berterusan walaupun selepas PRU15 dan dikendali oleh Lajnah Pemerkasaan Parti di Negeri dan Kawasan.
Berkenaan pemerkasaan penyatuan ummah, PAS katanya, tidak akan meninggalkan atau membiarkan platform itu kerana ia adalah masa depan politik Malaysia serta risiko yang ada, bukannya penting untuk PRU15 sahaja.
Beliau juga menyeru agar memberi perhatian kepada Undi18 yang akan mengundi buat pertama kali di mana mereka boleh mengubah corak PRU15 di mana golongan besar adalah merupakan ‘pengundi tanpa parti’.
Dato’ Tuan Ibrahim turut mengingatkan jarum-jarum musuh yang boleh menyelinap masuk dalam pemikiran, di dalam organisasi untuk menimbulkan rasa tak puas hati, tak setuju pada calon, pada kerusi, pada rakan muafakat politik.
Turut diperingatkannya dalam ucapan itu adalah mengenai amalan-amalan fardi dan jaminan PAS ke atas masyarakat bukan-Islam di negara ini. – HARAKAHDAILY 4/9/2022




















