
ALOR SETAR: PAS masih tidak mencapai kemenangan di kerusi-kerusi tertentu kerana wujudnya ahli yang tidak thiqah dan wala’ kepada pimpinan, demikian kata Perwakilan PAS Johor, Dr Karim Deraman.
Menurut beliau, walaupun pimpinan menentukan strategi dan mengenengahkan calon boleh menang, tetapi sikap itu membawa kepada tindakan sebaliknya apabila ahli yang seperti itu tidak mengundi calon sendiri.
Akibatnya ujar beliau, dalam konteks PRN Johor baru-baru ini, PAS hanya menang satu kerusi daripada sekurang-kurangnya dua kerusi DUN boleh dicapai kemenangan ketika itu.
“Oleh kerana sikap ahli-ahli kita yang tidak tsiqah kepada pimpinan, tidak wala’ kepada pimpinan, bila pimpinan dah putuskan calonnya ini, ada di kalangan ahli-ahli kita yang tidak mengundi ahli kita.
“Ataupun tidak mengundi parti yang telah diputuskan oleh pimpinan yang kita ada calon di situ ialah daripada BERSATU. Ini khususnya di Johor. Saya tak tahu mungkin di Melaka,” ujarnya.
Beliau membahas Ucapan Dasar Presiden PAS pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi.
Kata beliau, ahli-ahli PAS di negeri Selatan yakni Johor, Melaka dan Negeri Sembilan tidak ramai, oleh itu beliau berharap agar pimpinan PAS lebih kerap turun untuk memberi suntikan bergerak kerja.
Menurut Dr Karim lagi, pada PRU15 nanti, PAS Johor akan bertanding beberapa kerusi Parlimen dan bertekad mencipta kemenangan Parlimen sulung di negeri itu.
“Jadi kita minta pimpinan daripada Pusat, turun juga ke Johor seterusnya kalau turun ke Johor, tolonglah selesaikan masalah kita dengan Kerajaan UMNO. Kita dah hantar surat ataupun untuk buat appointment, untuk pertemuan, tapi tak dilayan.
“Jadi kita mintalah kalau boleh Menteri-menteri kita, Timbalan Menteri, atas kapasitinya sebagai Kerajaan Pusat turun ke Johor. Dalam apa-apa aktiviti yang ada,” rayu beliau.
Turut dikemukakannya adalah selain calon boleh menang, PAS juga perlukan formula boleh menang iaitulah bersama dengan parti-parti lain sebagaimana dalam Perikatan Nasional ketika ini. – HARAKAHDAILY 4/9/2022




















