Presiden PAS sedia datang lagi ke Bukit Aman

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah - Foto HarakahDaily: JAMAL KEMALA
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

ALOR SETAR: “Saya dah pergi Bukit Aman, walaupun ditawarkan oleh pegawai polis untuk datang ke pejabat saya.

“(Tetapi) saya pilih ke Bukit Aman dan sudah berjumpa dengan pegawai polis dan berlaku soal siasat oleh pegawai terlibat,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pihak membuat laporan polis susulan satu artikel ditulisnya berkaitan isu rasuah yang dikatakan mempunyai unsur-unsur perkauman.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah dengan ditemani peguam telah hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada 29 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau memilih pergi ke Bukit Aman untuk memberi keterangan terhadap siasatan berkaitan kenyataan yang dianggap kontroversi pihak tertentu.

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan butir keterangan siasatan kepada pengetahuan umum kecuali di mahkamah jika kesnya itu dibicarakan nanti.

“Saya juga bersedia untuk hadir lagi memberi keterangan sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak polis. Kalau dia panggil lagi saya pergi lagilah..” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/22

- Advertisement -