Kerjasama PAS-Umno tidak mustahil, terus runding dan berhubung

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS secara prinsip menerima Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada parti-parti Melayu-Bumiputera dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggabungkan sama parti bukan-Islam. 

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, soal keikhlasan adalah perkara di dalam hati seseorang dan PAS tidak memberi ketetapan kepada perkara andaian seperti itu. 

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai kesediaan PAS berbincang dengan pihak yang dikata menunjukkan tanda keikhlasan, namun kemudian menunjukkan sebaliknya. 

Ahli Parlimen Marang itu mengulas demikian pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS dan perasmian Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

Mengulas pendirian Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk parti itu bergerak solo, Tuan Guru Abdul Hadi berharap ia hanya kenyataan Umno dan bukannya pendirian ahli-ahli Umno. 

Terangnya, perundingan dan perhubungan masih dijalankan dengan pelbagai peringkat di dalam Umno termasuk akar umbi yang disifatkannya bercampur antara ahli di bawah dengan sangat baik. 

“Dalam politik tak ada yang mustahil, politik dinamik, boleh berlaku macam-macam.  Tak mustahil,” ujarnya tidak menolak PAS akan bersama Umno juga pada PRU15 nanti. 

Mengenai pembahagian kerusi antara komponen PN jelasnya, selagi PRU15 belum diumumkan dan tidak diketahui, maka ia terus dibincangkan kerana politik bersifat fleksibel. 

Menurut beliau, tarikh PRU15 hanya berada dalam ilmu Allah SWT di mana Perdana Menteri juga susah untuk menentukan di mana mengikut Perlembagaan hanya Kabinet boleh menetapkan.  

“Kabinet bukan majoriti Umno. Majoriti Perikatan Nasional dalam Kabinet ini. Perdana Menteri tidak boleh sebarangan nak buat, tak boleh bergantung dengan Resolusi Perhimpunan Agung Umno,” ujarnya. 

Menjawab isu penggunaan logo, beritahunya PN baru di peringkat percubaan memilih untuk memakai satu simbol iaitu semasa PRN di Melaka dan Johor, namun ia akan dipertimbangkan. 

“Kita masih mendengar pandangan akar umbi. Pandangan akar umbi kita ada yang mahu kekalkan simbol lama, ada yang mahu supaya pakai simbol baru. Ada yang timbul masalah warna dan sebagainya.  

“Itu biasalah. Kita akan pertimbangkan. Kita akan dengar di Muktamar. Muktamar ini akan ada (perbincangan itu),” maklum beliau. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -