Kanada siasat dakwaan perisiknya seludup remaja UK ke Syria

Tiga pelajar Bethnal Green Academy dirakam di Lapangan Terbang Gatwick, menuju ke Turkiye untuk ke Syria pada 17 Februari 2015. (FOTO PA)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berikrar akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan bahawa seorang pengintip yang bekerja untuk badan perisikan Kanada telah menyeludup tiga pelajar sekolah United Kingdom ke Syria pada tahun 2015.

Dalam kenyataannya pada Rabu (31 Ogos) waktu tempatan, sehari selepas beberapa saluran berita UK melaporkan mengenai ejen perisikan Kanada yang terbabit dalam pemerdagangan manusia ke Syria, Trudeau berkata, beliau telah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut dan kini dalam proses melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci, lapor TRT World.

- Advertisement -

“Pihak kami akan terus memastikan pengawasan sewajarnya dilakukan dan jika perlu, melakukan langkah selanjutnya,” tegasnya.

Menurut laporan Times Britain, Shamima Begun yang berusia 15 tahun dan dua rakannya, Kadiza Sultana, 16, dan Amira Abase,15, yang merupakan pelajar pintar di Bethnal Green Academy, di timur London menerima bantuan daripada ‘orang dalam’  Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS) untuk diseludup masuk ke Syria yang dilanda perang ketika itu.

Ketiga-tiga remaja berkenaan menjadi tajuk berita utama pada 17 Februari 2015 apabila kelibat mereka dirakam CCTV di Lapangan Terbang Gatwick, London untuk terbang ke Istanbul, Turkiye; dan keesokannya, mereka sekali lagi dirakam berada di terminal bas di Istanbul, membawa beg pakaian mereka dalam cuaca bersalji menaiki bas utuk ke Syria.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau beliau telah mendapat maklumat mengenai perkara kes pengintip yang bekerja untuk badan perisikan Kanada yang didakwa menyeludup tiga pelajar sekolah United Kingdom ke Syria. (FOTO BBC)

Polis UK telah melancarkan pencarian secara besar-besaran untuk mengesan ketiga-tiga remaja berkenaan pada ketika itu, sudah terlambat kerana mereka sudah berjaya melintasi sempadan Turkiye-Syria.

“Kanada mengetahui tentang nasib ketiga-tiga gadis remaja berkenaan tetapi mendiamkan diri semasa pihak polis Britain menjalankan pencarian antarabangsa besar-besaran untuk mengesan mereka.

“Kanada secara peribadi mengakui penglibatannya hanya apabila ia bimbang kes itu terdedah, dan kemudian berjaya meminta Britain untuk menutup akan penglibatannya dalam kes berkenaan,” lapor akhbar Britain itu.

Shamima, Kadiza dan Amira dirakam CCTV ketika berada di terminal bas Istanbul, Turkiye untuk ke Syira pada 18 Februari 2015. (FOTO Daily Record)

Apabila ditekan tentang kes berkenaan pada sidang akhbar, Trudeau mempertahankan keperluan perkhidmatan perisikan untuk lebih ‘fleksibel dan kreatif dalam pendekatan mereka… dalam tugasan  mereka untuk memastikan Kanada selamat dalam dunia yang sangat berbahaya ini’.

Pada masa yang sama, tambahnya, CSIS mesti mematuhi ‘peraturan ketat’ undang-undang Kanada.

“Kami menjangkakan peraturan itu dipatuhi,”  kata Trudeau.

Laporan Times juga turut memetik buku baharu karya oleh bekas wartawannya, Richard Kerbaj yang berjudul, The Secret History of the Five Eyes, bahawa CSIS telah merekrut Mohammed al Rasheed sebagai ejennya apabila lelaki itu melawat kedutaan Kanada di Jordan untuk mendapatkan suaka.

Rasheed kemudiannya ditangkap oleh pihak berkuasa Türkiye pada 2015 dan didapati memiliki dokumen perjalanan, termasuk tiket bas, milik Begun dan kedua-dua rakannya itu.

Buku karya penulisan bekas wartawan Times. Richard Kerbaj, The Secret History of the Five Eyes mengaitkan kerajaan Kanada dengan kes penyeludupan ketiga-tiga Shamima, Kadiza dan Amira ke Syria. (FOTO Amazon.co.uk)

Ia menyebabkan Kanada hanya secara peribadi mengakui penglibatannya dengan Rasheed dan meminta Britain untuk membantu menutup kes berkenaannya, ujar kandungan buku karya Kerbaj itu.

Tulisan dalam buku berkenaan juga juga mendakwa Kanada gagal menghalang perjalanan ketiga-tiga gadis tersebut kerana mereka telah sampai ke Syria pada ketika Rasheed dimaklumkan mengenai situasi itu.

Kini berusia 23 tahun dan telah dilucutkan kewarganegaraan British, lapor Yahoo! News,  Begun kekal di kem pemindahan di utara Syria ketika dia merayu keputusan untuk menghalangnya daripada dipulangkan ke pangkuan keluarganya di Britain.

Sementara, tambah laporan itu, Kadiza Sultana dan Amira Abase, dikatakan terbunuh dalam serbuan udara tentera Rusia atau hilang tanpa dikesan. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -