
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Juri perbicaraan kes Ryan Giggs di Manchester, semalam, dibubarkan selepas gagal mencapai keputusan terhadap bekas pemain sayap Manchester United itu yang dituduh melakukan serangan dan menggunakan kawalan tingkah laku terhadap teman wanitanya.
Giggs, 48, didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Kate Greville serta tingkah laku mengawal dan memaksa. Dia juga menghadapi tuduhan menyerang kakak Greville, Emma.
Tujuh juri wanita dan empat lelaki memberitahu hakim bahawa mereka tidak dapat mencapai keputusan selepas perbicaraan berlangsung selama tiga minggu.
Pihak pendakwaan kini mempunyai tujuh hari untuk memutuskan, sama ada mahu meneruskan perbicaraan semula.
Hakim Hilary Manley memberitahu Giggs bahawa sebarang perbicaraan semula mungkin tidak akan diadakan sehingga Jun tahun depan. Giggs diikat jamin sehingga pihak pendakwaan membuat keputusan.
Bekas Pengurus Wales, Giggs mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dengan peguamnya berkata dakwaan itu berdasarkan penyelewengan, keterlaluan dan pembohongan.
Bekas pemain United itu kali pertama ditangkap berhubung kes itu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada November 2020.
Peguam Diraja (QC) bagi pihak pendakwaan, Peter Wright, berkata kes itu melibatkan litani penderaan, baik fizikal dan psikologi seorang wanita yang Giggs mengaku cinta.
“Kes ini adalah mengenai penderaan yang sistematik dan kadang-kadang keganasan terhadap seorang wanita yang sepanjang masa menjadi mangsa,” katanya.
Pendakwa raya menggambarkan insiden Giggs menanduk Greville dan sengaja menyiku kakaknya.
Peguam Giggs, Chris Daw yang juga seorang QC berkata, anak guamnya tidak pernah menggunakan kekerasan yang menyalahi undang-undang terhadap Kate Greville dengan mengatakan pasangan itu berkelakuan seperti kanak-kanak yang bergaduh.
Dia berkata, Giggs mengaku terdapat sedikit sentuhan dan tidak sengaja ketika berebut telefon bimbit, tetapi menafikan terdapat pukulan kepala yang disengajakan dan mendakwa itu bukan serangan jenayah.
Giggs digantikan sebagai Pengurus Wales selepas pada mulanya mengundurkan diri pada penghujung 2020 kerana kes itu.
Rob Page mengambil alih pasukan itu yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia November ini di Qatar.
Giggs membuat 963 penampilan sepanjang 23 tahun bersama Manchester United serta mencapai pelbagai kejayaan, termasuk 13 gelaran Liga Perdana dan dua piala Liga Juara-Juara.
Beliau mewakili Wales sebanyak 64 kali antara 1991 dan 2007 dan mengambil alih sebagai jurulatih kebangsaan pada 2018.




















