
Susunan YUSMAN AWANG
DETROIT: Polis Detroit telah menahan seorang lelaki berhubung empat tembakan berasingan di sini yang diklasifikasikan sebagai pembunuhan bersiri secara rambang, berlaku pada awal pagi Ahad (28 Ogos) waktu tempatan.
Ketua polis Detroit, James White berkata, seorang wanita berusia 44 tahun ditemui dengan pelbagai kesan tembakan pada jam 4:45 pagi Ahad di kawasan sekitar Jalan Wyoming dan Margareta, lapor Clickondetroit.
“Semasa polis menyiasat kejadian tembakan itu, seorang saksi menemui seorang lelaki berusia 28 tahun yang telah ditembak beberapa kali di kawasan 7 Mile Road dan Wyoming Avenue,” ujar White.
Tambahnya, pada kira-kira jam 6.50 pagi pula, seorang wanita berusia 40-an ditemui ditembak beberapa kali di blok 19700 Livernois Avenue.
“Pada pukul 7.10 pagi, seorang lelaki ditembak sebanyak satu das apabila dia menyedari seseorang sedang mengintip ke dalam kenderaannya,” kata White.
Menurutnya, seorang daripada mangsa sedang menunggu bas, seorang lagi sedang berjalan dengan anjingnya, dan seorang lagi berada di jalanan.
“Kesemua mereka cedera, namun tiada seorang pun mangsa disamun dengan tiga daripada mangsa telah meninggal dunia dan seorang cedera.
“Pihak kami mengklasifikasikan insiden tembakan itu adalah secara rambang dan tidak ada hubungan antara mana-mana jenayah lain,” ujarnya lagi.

Polis yang sebelum itu meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti lelaki yang disyaki dalam kejadian tembakan bersiri itu telah mengesahkan bahawa kira-kira pada jam 6.40 petang Ahad, seorang suspek sudah berjaya ditahan.
“Tangkapan itu dibuat di kawasan Pembroke Avenue dan Monica Street. Dipercayai, ia hanya melibatkan seorang suspek dan satu senjata digunakan dalam tembakan bersiri secara rambang itu,” kata White.
Pembunuhan bersiri secara rambang di Detroit itu bukan satu-satunya insiden keganasan senjata api yang membawa maut di AS pada Ahad berkenaan.
Kediaman dibakar, penghuni dibunuh
Pihak berkuasa di Houston, Texas Houston berkata bahawa tiga orang ditembak mati di sana oleh seorang lelaki bersenjata yang pada mulanya membakar kediaman mangsa.
“Suspek kejadian sangat jahat apabila membakar beberapa kediaman penduduk, menunggu penghuni kediaman itu lari keluar, sebelum menembak mereka bertalu-talu,” kata Ketua Polis Houston, Troy Finner pada sidang akhbar akhbar berasingan.
Tambahnya, anggota bomba yang menangani kebakaran juga terpaksa berlindung daripada suspek lelaki bersenjata itu yang kemudian mati ditembak pihak polis.
Pemain bola sepak NFL ditembak
Sementara itu, seorang pemain bola sepak NFL, Brian Robinson Jr ditembak di ibu negara Washington pada jam 6 pagi Ahad, tetapi berada dalam keadaan stabil, lapor akhbar Washington Post.
Robinson Jr ditembak dua kali dalam insiden yang berkemungkinan ada kaitan dengan percubaan penculikan, tambah Washington Post, memetik kenyataan polis.
“Mangsa dibawa ke hospital dan kecederaannya tidak dipercayai mengancam nyawa,” ujar kenyataan polis.
AS sejak akhir-akhir ini kerap digegarkan dengan kejadian tembakan dan serangan maut secara rambang di kawasan umum termasuk di sekolah dan pusat membeli-belah melibatkan banyak kematian, namun penggubal undang-undang bagaimanapun masih enggan meluluskan undang-undang kawalan senjata di negara itu menyebabkan rakyat negara itu berada dalam risiko tinggi maut atau cedera ditembak pada bila-bila masa dan di mana sahaja di tempat terbuka. – HARAKAHDAILY 29/8/2022




















