
PERIKATAN Nasional (PN) telah menyambut ulang tahun kedua penubuhannya dan diraikan pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 (PN22) di MAEPS, Serdang pada hari semalam.
Parti Perikatan Nasional lahir dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada Pakatan Harapan yang terbukti gagal sepanjang 22 bulan tempoh mentadbir Kerajaan Malaysia.
Kerajaan Pakatan Harapan ternyata adalah sebuah kekesalan dalam episod sejarah politik tanah air apabila mereka memerintah dalam keadaan menipu rakyat, tidak bersedia, berpecah belah dan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.
Lebih malang lagi apabila Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan yang kucar kacir serta hilang fokus ketika mentadbir mereka cuba merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara dan rakyat Malaysia.
Mimpi ngeri rakyat Malaysia selama 22 bulan mentadbir pasti akan menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan menjadi pedoman buat generasi undi -18 akan datang.
PAS menyokong penuh gagasan Perikatan Nasional dalam konvensyen ini iaitu “Prihatin Rakyat dan Malaysia Sejahtera” sebagai tawaran baru kepada para pengundi menuju PRU-15 akan datang.
PAS akan memastikan agar kesemua jentera parti memberikan fokus 100% bagi menghadapi PRU-15 akan datang dan akan memastikan PH tidak lagi kembali berkuasa di Putrajaya walau seinci selepas daripada ini.
“Prihatin Rakyat”
“Malaysia Sejahtera”
“Islam Menyatukan Ummah”
YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
28 Ogos 2022 | 30 Muharam 1444H – HARAKAHDAILY 28/8/2022




















