
KUALA LUMPUR: Mahasiswa diharap melakukan penyelidikan di universiti dengan tujuan agar kajian itu dapat dimanfaatkan dalam mengisi kemenangan Islam iaitu dilaksanakan dalam pemerintahan negara, bukan semata-mata untuk kelayakan memperolehi ijazah.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyuarakan seruannya itu di hadapan 3,000 mahasiswa pada Konvensyen Mahasiswa Negara 2022 yang bertemakan ‘Membangun Siswa Demi Negara’ di Wisma Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Puchong, kelmarin.
“Saya dah berjumpa dengan pensyarah-pensyarah. Minta pensyarah-pensyarah kena tolong anak murid dia buat research. Research tentang ekonomi, research tentang sosial, research tentang apa.
“Buat research, kita laksanakan bila kita memerintah. Di sini kita melihat bagaimana orang Barat, dia hantar penyelidik di seluruh negeri Islam, buat research. Balik negeri-negeri dia gunakan untuk manfaat dia.
“Jadi kita mahu pengajian tiap-tiap mahasiswa ni, apa bidang dia, biar betul-betul mendalami bidang itu. Kerana tiap-tiap lapangan ini fardu kifayah. Jangan fardu kifayah macam orang tua-tua faham sembahyang mayat saja. Ha tak boleh.
“Semua jurusan itu fardu kifayah yang kita mesti mendalami bidang masing-masing. Dan research yang kita buat bukan untuk dapat ijazah, untuk mengisi kemenangan Allah Taala beri kemenangan. Ini sangat penting,” ujarnya memotivasikan.
Beliau dalam sesi dialog itu juga menyeru agar para mahasiswa mendekati rakan-rakan mahasiswa lain untuk memahamkan mereka mengenai politik dan membina pengaruh ke pelbagai kelompok untuk menyedarkan tanggungjawab berpolitik.
Tuan Guru juga membangkitkan semangat anak-anak muda tersebut untuk sentiasa membaca dan menulis kerana ia adalah petunjuk kepada orang yang selalu berfikir pelbagai perkara sama ada isu atau kehidupan.
“Bila ada satu isu maka saya tulis mengikut isu itu. Ha… macam-macam isulah. Isu politik, isu anak muda, isu macam-macam. Dengan sebab itulah tulisan HarakahDaily itu banyak isu berdasarkan kepada masalah-masalah semasa. Masalah semasa.
“Tuhan jadikan macam asam garam untuk menulis kata orang kalau duduk saja, jadi pening, duduk saja dia pening. Bila kita memikir ini tak keluar yang kita mikir ini jadi pening kepala. Jadi dengan kita tulis itu hilang peninglah. Kita keluarkan luahkan apa yang kita fikir ini satu cara.
“Termasuklah masa saya di hospital, berlaku pembedahan jantung dalam keadaan yang tenat, nak hilangkan sakit itu, saya pasang kaset mengaji Quran. Daripada awal sampai habis 30 juzuk. Jadi tiap-tiap dengar Quran itu, mari fikir-fikir, tulis, tulis.
“Kalau tak tulis jadi berlonggok dalam kepala jadi pening. Jadi macam itulah. Macam orang ketagihlah makan budu tak tengok budu tak sedap. Tapi daklah macam budu itu wallahuaklam,” kongsi beliau.
Turut dikongsinya adalah pelbagai kisah dalam menyampaikan dakwah secara berhikmah dengan pelbagai pendekatan yang menatijahkan penerimaan manusia kepada Islam atau berubah menjadi baik. – HARAKAHDAILY 22/8/2022




















