Harakah terima anugerah terbaik MBBA 2022 kategori politik

Ketua Pegawai Operasi Harakah, Kamal Ashaari (kanan) menerima anugerah daripada Mantan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof pada Majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2022 anjuran Media Home Communication di Mandarin Oriental pada 21 Ogos 2022. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Portal berita Harakahdaily dan Harakah menerima anugerah Perniagaan Terbaik kategori berita dalam talian bagi kandungan politik oleh Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2022 anjuran Media Home Communication.

Anugerah tersebut menjadikan Harakah berdiri sama tinggi bersama empat portal berita dalam talian lain yang turut menerima anugerah pada majlis berkenaan di Mandarin Oriental, di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Operasi Harakah, Kamal Ashaari berkata, penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan Harakah sebagai portal berita kandungan politik yang memberi sumbangan kepada masyarakat.

Katanya, ia juga menjadi motivasi buat warga kerja Harakah untuk terus berusaha menjalankan tugas mereka dan bersaing menjadi portal berita utama di Malaysia.

“Apatah lagi kini Harakah tidak lagi terhad untuk ahli PAS sahaja, bahkan terbuka untuk semua rakyat. Menunjukkan ia sebagai medium berita yang diterima kesahihannya oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas menerima anugerah berkenaan bersama Ketua Pegawai Kewangan Harakah, Shahzada Mohammad Nisar Ahmad Salimi, malam tadi.

Ketua Pegawai Kewangan Harakah, Shahzada Mohammad Nisar Ahmad Salimi (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Harakah, Kamal Ashaari (kanan). Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

Menurut Kamal, hasil kejayaan Harakah kini bukan dibina dalam masa singkat, namun ia adalah hasil kerja keras warga Harakah sejak awal penubuhannya, 35 tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi MBBA 2022, Mohd Shahir Adnan berkata Harakah dipilih melihat kepada laporan berita dan artikelnya yang bersifat lebih neutral.

Katanya, kandungan artikel di dalam Harakah banyak memberi solusi kepada negara walaupun ia Harakah adalah sebuah akhbar politik.

“Apa yang kita lihat, Harakah banyak memberi solusi dalam keadaan kegawatan politik kita pada hari ini. Selain itu, artikel yang dilaporkan dalam Harakah, banyak berfakta dan lebih inklusif memenuhi aspek ekonomi, dunia, politik dan semasa.

“Harakah hari ini membina satu ekosistem politik yang lebih matang, malah melalui kaji selidik yang dijalankan pihak kami, pembaca Harakah bukan hanya dari kalangan satu parti politik sahaja, ia merangkumi parti lain juga.

“Jadi, pelbagai parti pun baca Harakah, kita juga lihat media arus perdana juga kadang-kadang mereka petik artikel-artikel daripada Harakah,” katanya.

Para pemenang anugerah mengambil foto berkumpulan setelah menerima anugerah MBBA 2022. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY 22/8/2022

Menurut Shahir, berdasarkan pengamatannya ia merupakan satu perubahan yang baik dalam Harakah sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Malah katanya, pemilihan Harakah sebagai anugerah Perniagaan Terbaik kategori berita dalam talian bagi kandungan politik oleh MBBA 2022 juga dijalankan melalui panel penilai yang dilantik pihaknya.

Semalam pada 20 Ogos, Harakah juga menerima Anugerah Khas daripada Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Anugerah disampaikan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dato’ Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden MASTI, Raja Shah Erman Raja Arifin dan diterima Ketua Pegawai Kewangan Harakah, di Pulai Spring Resort, Johor.

Shahzada Mohammad Nisar menganggap penerimaan itu merupakan satu pengiktirafan kepada Harakah dan Harakahdaily dalam menyiarkan berita atau artikel yang bersifat politik dalam masa sama berbentuk ilmiah.

“Kita dicalonkan dan berada sebaris dengan media perdana seperti Berita Harian dan News Strait Times. Alhamdulillah mereka iktiraf kita sebagai portal berita politik dalam talian dan boleh bekerjasama dengan mereka.

“Saya berharap akan datang MASTI boleh berkongsi dan mengetengahkan kepakaran mereka kepada masyarakat mengenai hasil kajian dan analisis mereka, sama ada dapatan tentang apa yang berlaku dalam negara mahupun di seluruh dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -