
KUALA LUMPUR: Anak-anak muda Islam jika bersikap tidak mahu dan merasa bosan dengan politik akan menyebabkan kuasa pemerintahan diambil alih oleh orang bukan-Islam, demikian peringatan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Nasihatnya juga supaya anak-anak muda Islam tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran dibawa penjajah mengatakan politik itu kotor dan tiada dalam Islam, sedangkan para Nabi juga berpolitik dan terlibat dalam kuasa pemerintahan.
Jelasnya, teori memisahkan politik daripada agama adalah dipengaruhi Kristian kerana pertembungan gereja dan paderi, serta teknologi revolusi industri dan urusan dunia, lalu dibawa ke dalam Islam agar umat ini meninggalkan hal ehwal pemerintahan.
Beliau mengajukan demikian pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022 bertemakan ‘Membangun Siswa Demi Negara’ yang berlangsung di Wisma Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Puchong, semalam.
“Politik ialah kuasa pemerintahan, bukan menipu. Yang mengotorkan kuasa ni manusia. Yang rasuah tu manusia. Politik ni perintah Allah. Bila orang Islam tinggal kuasa politik, orang lain ambil alih, orang Islam dihina, diseksa. Pemerintahannya bercelaru, diseksa di dunia, diseksa di akhirat.
“Terseksa dalam masalah ekonomi, inflasi, pengangguran, macam-macam, ini seksa Allah. Inflasi ini kerana penyelesaian bukan ikut cara Islam, berlaku inflasi, berlaku pengangguran. Padahal hasil negeri kita banyak, melimpah-ruah negeri Islam ni, getah di negeri Islam, bijih di negeri Islam, petroleum di negeri Islam. Tapi orang Islam lemah, hasilnya banyak. Hina.
“Hasil diangkut oleh orang. Kita orang kampung jual getah pada tauke. Tauke jual ke British. British buat tayar. Dia beli getah kita dia letak berapa harga. Setelah proses dia buat barang jual, dia letak harga. Barang kita, kita jual dia letak harga, dia jual kat kita letak harga. Tak hina? Hina, seksa.
“Gejala sosial, banyaknya jenayah, banyaknya macam-macam. Ini seksa dunia bila tinggalkan Islam. Kaum yang lain memerintah kamu. Bila tak berpolitik, orang lain berpolitik. Sedangkan orang bukan Islam berpolitik. Orang bukan-Islam bekerja dalam hutan di Pahang balik mengundi di Perak.
“Bekerja dalam hutan di Sabah, Sarawak balik mengundi di Pulau Pinang. Yang duduk Australia balik mengundi di Pulau Pinang, nak menangkan parti DAP dia, parti dia. Kita orang Islam tak mahu mengundi, tak mahu terlibat dengan pilihan raya. Terserahlah siapa dia memerintah, sama saja,” tegur beliau akan sikap itu.
Akhirnya kata beliau, kuasa politik diambil alih oleh orang lain dan apabila berkuasa mereka melakukan macam-macam perkara sepertimana selepas PRU14 lalu apabila kalangan bukan-Islam dan Liberal mendominasi pemerintahan kerajaan.
Mereka itu menurutnya, dengan kuasa yang ada telah mencabar Perlembagaan, Raja-raja Melayu dan hak istimewa kaum Bumiputera di mana perkara itu merupakan seksaan dan amaran Allah apabila umat Islam tidak mahu berpolitik.
“Tanggungjawab kita menyedarkan, menginsafkan yang baki ini supaya tahu tanggungjawab berpolitik. Pentingnya kuasa Islam ditegakkan,” ujar beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah.
Terangnya, walaupun sekarang ini sudah genap 100 tahun umat Islam kehilangan khilafah dan kerajaan Islam, selain tanah air banyak dijajah, dipecah perintah dan hasil bumi diangkut serta umat diganyang, namun cahaya Islam tidak padam.
Jelas Tuan Guru, Allah telah menjanjikan di zaman tiada Nabi dan Rasul, akan ada kumpulan atau jamaah akan menegakkan Islam yang sempurna antaranya mengembalikan kuasa politik.
Namun, beliau menyedarkan anak-anak muda Islam kepada hakikat bahawa umat ini telah melalui kesan serangan pemikiran atau ghazwatul fikr yang meranapkan fahaman politik.
Hal tersebut menurutnya, selari peringatan Rasulullah SAW bahawa ikatan ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu bermula ‘al-Hukm’ yakni hukum mentadbir yang juga bermaksud kuasa politik untuk melaksanakan hukum syariat.
“Yang paling akhir sembahyang (solat). Bila sembahyang pun tak ada, tunggu kiamatlah. Namun Islam tak mati. Tanggungjawab kita menyedarkan orang Islam mengembalikan kuasa pemerintahan mereka. Ini tanggungjawab yang besar,” motivasinya. – HARAKAHDAILY 21/8/2022




















