Lebih banyak skandal kerajaan lama akan didedah

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari. - Foto Rizal Tahir
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan, terutama anak muda akan berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, berkata pihak berkenaan (BN) begitu berhasrat untuk merampas Kelantan pada PRU akan datang.

- Advertisement -

“Nak rampas Kelantan pun, jaga lah dulu negeri anda tu.. baik baik. Ini datang Kelantan, ada pemimpin utama Umno sebut umum nak rampas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Himpunan Anak Muda Kelantan sempena ulang tahun ke-2 PN di Kelantan yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu difahamkan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Shahril Sufian, sudah tiba masa Kelantan melakukan perubahan selepas 32 tahun negeri itu ditadbir oleh PAS.

Ahmad Fadhli berkata, rakyat negara ini diminta tidak lagi memberi kemenangan secara solo pada Umno dan BN kerana mereka akan melakukan ‘perangai lama’ dalam negara jika kuasa diberi pada mereka.

Katanya, banyak lagi kes pemimpin parti itu berlaku ketika memerintah negara sebelum ini akan didedahkan bukan hanya projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bernilai lebih RM6 bilion.

“Rakyat mesti tahu apa yang dah jadi terhadap wang negara yang hangus begitu sahaja berhubung projek tersebut.

“Tak apalah nak sangat serang PAS, kita teruk (asak) sampai rapat dinding,” ujarnya.

Beliau memberitahu, PAS kini berhadapan dengan dua serangan, iaitu Umno-BN dan Pakatan Harapan, namun PH di Kelantan tidak kuat tetapi adat berlawan, tetap perlu diberi tumpuan. – HARAKAHDAILY 21/8/22

- Advertisement -