Ketepi hasrat jadi wakil rakyat jalin muafakat politik

Orang ramai yang mendengar Kuliah Hijrahtul Rasul - Foto Rizal Tahir
- Advertisement -

KOTA BHARU: Aura kebangkitan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dinafikan lagi apabila himpunan sempena ulang tahun ke-2 PN mendapat sambutan luar biasa, terutama dalam kalangan anak muda.

Ini dibukti apabila ribuan anak muda memenuhi pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Wajah-wajah yang jarang ditemui sebelum ini ramai kelihatan, terutama golongan beliawanis dengan berpakaian pelbagai gaya.

- Advertisement -

Kawasan sekitar Dataran Stadium Sultan Muhammad IV masih dipenuhi orang ramai biarpun Himpunan Anak-anak Muda berakhir dan menjelang Maghrib.

Sambutan ulang tahun ke-2 PN diteruskan dengan solat Maghrib yang dihadiri ribuan pendukung PAS dan Bersatu, diadakan di Dataran Warisan yang berbumbung langit.

Kuliah Hijrahtul Rasul pula disampaikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama, Dato Dr Nik Zawawi Salleh. Hadir sama wakil-wakil rakyat dan pimpinan Bersatu Kelantan.

Dr Nik Zawawi berkata, PN ditubuh dengan dokumen ditandatangani oleh tiga pemimpin utama parti, iaitu PAS diwakili Presiden, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Dato Dr Nik Zawawi Salleh, menyampaikan kuliah di Himpunan Perikatan Nasional

“Sehingga sekarang hanya PN yang masih aktif, sebaliknya Muafakat Nasional kelihatan suram,” katanya ketika menyampaikan kuliah Maghrib.

Menurutnya juga hendak menyatukan saf perjuangan Islam adalah sesuatu yang sukar berbanding hendak meruntuhkan perpaduan yang terjalin.

“Apabila kita bergabung, kena buang dahulu sifat hendak jadi wakil rakyat, sepatutnya kita dapatkan redha Allah Taala dahulu, baru wujud kesepakatan yang sangat kuat.

“Sebab itulah kita adakan himpunan dengan mengadakan solat Maghrib, solat hajat bermakna kita tolong agama Allah, maka Allah akan tolong kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/22

- Advertisement -