
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Siasatan awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati kawasan persekitaran Gunung Inas, Kupang, Baling, masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata jatuhan batuan juga berlaku berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.
Selain itu, katanya perubahan arus deras secara mendadak ketika hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing-puing batuan dalam laluan sungai boleh mendatangkan risiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan tersebut.
Sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin, katanya satu surat pemakluman rasmi perihal Langkah Kewaspadaan Awam Di Kawasan Tadahan Gunung Inas, Baling, Kedah telah dihantar pada 22 Julai lalu kepada kerajaan Kedah.
“KeTSA menyarankan agar kerajaan Kedah mengambil perhatian terhadap zon bahaya dan zon kawalan yang dibangunkan oleh JMG bagi tujuan pengurusan bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Kerajaan Kedah juga dinasihati agar kawasan pergunungan zon sumber aliran puing tersebut tidak dibuka kepada awam sehingga keadaan selamat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berkata, bagi kaedah penyelesaian secara menyeluruh, KeTSA melalui Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 sedang menyediakan laporan bersepadu.
Menurutnya, laporan itu dijangka akan mencadangkan kewujudan kawasan zon terimpak, zon berisiko dan zon selamat.
“Laporan ini turut akan menyediakan cadangan dan tindakan susulan mengenai dasar dan pengurusan bencana bagi mengurangkan secara menyeluruh risiko bencana di kawasan tersebut melalui langkah penyelesaian secara berstruktur dan bukan struktur,” katanya.

Sementara itu, katanya Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 dianggotai oleh agensi berkaitan seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), JMG, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan agensi teknikal lain berkaitan.
Menurutnya, JMG telah membuat pemeriksaan tapak kejadian pada 5 Julai lalu dan hasil laporan awal kejadian banjir lumpur di Baling dikemukakan kepada KeTSA pada hari yang sama.
Katanya, JPG juga mengadakan mesyuarat teknikal bersama Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM) mengenai aktiviti penawanan data secara Unmanned Arial Vehicle (UAV) dan fix wing dan seterusnya menghasilkan laporan pemeriksaan tapak bencana pada 17 Julai lalu.
Menurutnya, JUPEM turut melakukan pengumpulan data di lokasi kolam tadahan yang disyaki telah runtuh.
“JPSM pula menyediakan laporan awal kejadian bencana banjir pada 5 Julai lalu sebaik sahaja kejadian dilaporkan dan melantik Pasukan Siasatan Dalaman JPSM bagi menyiasat dan mengumpul maklumat terperinci mengenai kejadian bencana itu.
“Selain itu, JPSM mengetuai tinjauan lapangan di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas pada 16 dan 17 Julai lalu bersama jabatan dan agensi teknikal berkaitan serta menyediakan dan mengemukakan laporan siasatan awal Pasukan Siasatan Dalaman JPSM kepada pihak KeTSA pada 19 Julai lalu,” katanya.
Beliau berkata, JPSM juga memberi input kepada Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KeTSA pada 20 dan 25 Julai lalu bagi menyelaras penghasilan Laporan Tragedi Baling 2022.
Katanya, JPSM turut menjalankan pemantauan di lapangan bagi memastikan tiada aktiviti penanaman baharu dijalankan di kawasan terlibat. – HARAKAHDAILY 26/7/22




















