
Susunan ZULHAIDI MANSOR
LONDON: United Kingdom mencatat rekod suhu tertinggi di beberapa lokasi mencecah 40 darjah Celsius (104.4 darjah Fahrenheit) buat pertama kali, di tengah-tengah fenomena gelombang panas yang ‘membakar’ Eropah ketika ini – cuaca panas paling dahsyat dalam tempoh 30 tahun.
Sehubungan itu, peramal cuaca menjangka keadaan akan menjadi lebih panas di negara-negara Eropah yang tidak bersedia menghadapi perubahan suhu tinggi melampau itu.
Negara yang biasanya beriklim sederhana itu adalah yang terbaharu dilanda cuaca panas luar biasa dan kering yang telah mencetuskan kebakaran hutan dari Portugal ke Balkan dan membawa kepada ratusan kematian berkaitan haba, lapor AP.
Sementara pakar meteorologi, Kirsty McCabe memberitahu Sky News kebarangkalian bahawa 60 peratus akan terjadinya suhu melebihi 40 darjah Celsius di UK dan menyebabkan cuaca menjadi sangat panas, lembab dan tidak selesa semalaman, susulan gelombang udara kering dari Afrika Utara melanda Eropah barat dan UK.
Pejabat Met U.K. menurut AP pula, telah mencatat bacaan 40.2 darjah Celsius di Lapangan Terbang Heathrow pada awal petang Selasa (19 Julai).

Dalam kenyataannya menurut laporan express.co.uk, McCabe berkata, cuaca sangat panas di keseluruhan tempat dan suhu akan meningkat pada hari yang akan datang di seluruh UK dan Ireland.
“Puncak panas berkemungkinan pada hari Isnin (waku tempatan) dan Selasa tetapi sehingga hari ini (selasa), paras tertinggi mencecah kira-kira 32 atau 33 darjah.
“Pada masa ini terdapat 90 peratus kemungkinan bahawa akan pecah rekod suhu sepanjang masa yang dicatat sebelum ini, iaitu 38.7 Celsius dan sekarang (pada Selasa) pertama kali suhu yang dicatat di UK mencecah 40 darjah,” jelasnya.

Cuaca sangat terik itu telah mengganggu perjalanan, penjagaan kesihatan dan operasi sekolah di negara yang tidak bersedia untuk menghadapi perubahan suhu cuaca yang keterlaluan sebegitu, lapor AP lagi.
“Ini kerana kebanyakan kediaman, perniagaan kecil dan juga bangunan awam, termasuk hospital di UK, tidak dilengkapi penghawa dingin, mencerminkan betapa luar biasa haba sebegitu di negara ini yang lebih terkenal dengan hujan dan suhu sederhana,” ujar laporan tersebut.
“Cuaca sangat panas di keseluruhan tempat dan suhu akan meningkat pada hari yang akan datang di seluruh UK dan Ireland. Puncak panas berkemungkinan pada hari Isnin dan Selasa tetapi sehingga hari ini kita melihat paras tertinggi sekitar 32 atau 33 darjah.
“Kini, pada masa ini terdapat 90 peratus peluang bahawa kami akan memecahkan rekod suhu UK sepanjang masa, iaitu 38.7 Celsius. Kami berkemungkinan melihat rekod itu dipecahkan pada hari Isnin dan sekali lagi pada hari Selasa dan sekarang akan menjadi kali pertama UK melihat suhu melebihi 40 darjah,” jelas McCabe kepada express.co.uk.
New York Times pula melaporkan selain United Kingdom, suhu panas melampau yang melanda Eropah ketika ini turut menyebabkan beberapa kebakaran yang marak di Perancis, Sepanyol dan juga di London.
Di Perancis dan Sepanyol, anggota bomba telah memerangi kebakaran hutan yang telah memusnahkan hutan di beberapa tempat, dan memaksa pemindahan penduduk yang tinggal berdekatan.
“Pada Selasa, lebih 2,000 anggota bomba sedang berhadapan dengan kebakaran di barat daya yang telah memaksa 37,000 orang meninggalkan rumah mereka minggu ini,” ujar laporan New York Times. – HARAKAHDAILY 20/7/2022




















