
PAN Negeri Kelantan sedang merencanakan kononnya satu gerakan pembaharuan yang mengenengahkan tema ‘Kelantan Baru’ dan disemarakkan lagi bersama retorik kempen ‘Ejas Buwi Sekali Deh’.
PAS yang memerintah sejak tahun 1990 dikatakan oleh pemimpin PAN Kelantan sebagai buruk, zalim dan sudah lama, serta dicadang untuk diletakkan di muzium untuk tatapan generasi seterusnya.
Timbalan Pengerusi PAN Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed bagaimanapun telah secara terbuka mendedahkan, bermuhasabah dan mengakui hakikat sebenar PAN di Kelantan.
Berikut disenaraikan butiran-butiran penting daripada ucapan beliau pada Konvensyen Pemuda PAN Kelantan pada hari Sabtu lalu:
● Hanya mempunyai tiga individu yang mampu dan boleh untuk ditonjolkan sebagai pemimpin iaitu Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ustaz Muhammad Husin serta Dato’ Husam Musa;
● Cikgu Wan Rahim semasa mengetuai PAN Kelantan selaku Pengerusi berdepan desakan supaya meletakkan jawatan untuk digantikan dengan Dato’ Husam, tetapi Husam tidak boleh dilantik ke jawatan itu kerana bukan dari kalangan 17 Ahli Jawatankuasa yang dipilih;
● Tindakan melantik Husam itu juga akan melanggar Perlembagaan PAN, hingga golongan yang mendesak itu menggesa dengan sewenang-wenangnya pula supaya peraturan yang berkenaan dipinda;
● Semasa Pemilihan Tahunan PAN, Cikgu Wan Rahim dan Dato’ Husam memilih untuk tidak bertanding, lalu perwakilan tiada pilihan melainkan mengangkat Ustaz Muhammad selaku Pengerusi;
● Wujud desakan untuk merombak kepimpinan PAN Kelantan kerana tidak diyakini mampu menghadapi PRU15 akan datang;
● Majoriti calon Pakatan Harapan (PH) termasuk PAN telah hilang deposit semasa bertanding dalam PRU14 kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan;
● Selepas PRU14, sebahagian besar bekas calon tersebut hilang ‘ghuyub’ tidak tahu ke mana dan dikatakan ‘beronar’, malah ada yang bertukar ke parti kawan dan lawan;
● Menampilkan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz yang diharap dapat membawa aura kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; tetapi tidak berjaya dihidupkan. Ustaz Nik Omar tidak bersedia dijadikan tokoh dan menjadi gelombang;
● Mahu calon PRU15 dipilih atas komitmen dan kesetiaan, bukan kerana kelayakan atau ketokohan. Imej PAN kepada rakyat lebih penting daripada kemenangan PRU;
● Menuju ambang PRU15, PAN Kelantan mesti mencari tokoh dan gelombang yang menentukan untuk parti itu menjadi kerajaan serta dilihat sebagai parti yang diyakini rakyat;
● Merancang Angkatan Amanah Merdeka yang melibatkan pakatan pembangkang di mana perbincangan turut melibatkan penentuan calon bakal Menteri Besar dan wujudkan pertembungan satu lawan satu;
● Memastikan PAN tidak bertanding di kerusi ditandingi BN dan PAN bertanding di kerusi tidak ditandingi BN. Berpegang kajian bahawa tiada parti di Kelantan mampu mendapat majoriti mudah 23 kerusi. Oleh itu jika PAN menang satu kerusi dalam keadaan masing-masing BN dan PAS ada 22 kerusi itu sudah memadai;
● Mendakwa Umno bukan tidak mahu bersama, tetapi PAN mesti bertanding menggunakan lambang Dacing. Juga percaya kekuatan PAN dan PH peringkat nasional mampu beri tawaran lebih baik kepada rakyat Kelantan berbanding PAS.
Ustaz Che Ibrahim menyatakan sebahagian perkara ini merupakan sejarah hitam PAN Kelantan, malah sedar betapa organisasi yang kacau bilau tidak layak diberi kepercayaan.
Ucapan beliau sepatutnya menyedarkan ahli dan pimpinan PAN bahawa nafsu besar parti itu setidak-tidaknya di Kelantan telah membutakan diri atau tetap membohongi diri.
Mereka sepatutnya akur realiti PAN terus ‘wujud’ hingga ke saat ini adalah kerana tajaan dan belaan DAP. DAP tentunya amat sukar bertapak di Kelantan, tetapi PAN masih boleh menjadi proksi parti Cauvinis itu.
Jadi untuk apa PAN bercita-cita terus berada di Kelantan itu tidak perlu menjadi forum atau wacana. Jelas parti itu tidak memiliki kapasiti sebenar, bahkan dalam keadaan cukup terumbang-ambing, porak peranda lagi keliru, celaru dan haru.
Apapun insya-Allah, rakyat Kelantan lebih jauh bijak menilai semua itu mengenal antara intan dan kaca.
ABU IBRAHIM – HARAKAHDAILY 20/7/2022




















