Hina Islam: Dewan Ulamak PAS gesa tindakan tegas

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa tindakan yang tegas dikenakan terhadap seorang wanita yang menghina Islam dengan ‘komedi’nya dalam sebuah kelab di Kuala Lumpur.

Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahya berkata, penghinaan yang cuba diselitkan dalam unsur komedi itu suatu langkah yang tidak bertanggungjawab dan wajar dicegah sebelum ia menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat.

“Tindakan menjadikan agama sebagai sebahagian daripada unsur komedi semakin dinormalisasi dalam masyarakat hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Katanya, hukuman yang tegas perlu dilaksanakan sebagai cegah rintang daripada ia terus melarat dalam masyarakat.

Selain itu, ujarnya Dewan Ulamak PAS Pusat turut menegaskan bahawa Islam mensyariatkan pemakaian menutup aurat dengan hikmah yang besar.

“Pensyariatana ini lsesuai dengan kemuliaan yang ada pada diri seorang muslimah di sisi agama,” tambahnya.

Menurutnya, ia bukan sekadar ‘melapik’ batang tubuh seorang wanita, bahkan ‘melindungi’ maruah dan harga dirinya.

Malangnya, kata beliau hikmah itu terlindung disebabkan pensyariatan agama tersebut dilihat pada nilai luaran semata-mata tanpa penghayatan yang mendalam terhadap agama.

“Dewan Ulamak PAS Pusat kesal dengan insiden tersebut dan menganggap ia adalah suatu penghinaan terhadap agama itu sendiri, apatah lagi dijadikan suatu bahan jenaka di atas pentas,” katanya lagi.

Oleh itu, ujar beliau tindakan yang tegas terhadap insiden tersebut wajar diambil supaya ia tidak terus berulang pada masa akan datang dan menjadi peringatan kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -