
JAKARTA: Indonesia akan mula mengeksport produk ayam ke Singapura bermula esok, (Rabu,13 Jul) melalui tiga syarikat dari Indonesia yang diberi kebenaran untuk mengeksport daging ayam dan produk daging ayam ke Singapura.
Pengarah di Kementerian Pertanian Indonesia, Tri Mela Sari berkata bahawa penghantaran pertama akan terdiri daripada daging ayam sejuk beku yang dibekalkan oleh konglomerat makanan berpangkalan di Thailand, Charoen Pokphand, namun jumlah eksport belum diketahui.
“Kami akan menghantar kumpulan pertama daging ayam ke Singapura pada Rabu,13 Julai. Kami akan mengadakan sidang media di pejabat Charoen Pokphand cawangan Indonesia (CPI). Butiran lanjut akan diumumkan pada sidang media itu nanti,” katanya Selasa (12 Julai), lapor CNA.
Sementara menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), dua daripada syarikat dari Indonesia yang diberi kebenaran untuk mengeksport daging ayam dan produk daging ayam ke Singapura ialah CPI, manakala sebuah lagi ialah anak syarikat gergasi makanan sejuk beku Indonesia, Japfa Comfeed.
Menurut Mela Sari lagi, dua daripada tiga syarikat berkenaan masih dalam perbincangan dengan rakan sejawatan mereka dari Singapura.
“Rundingan itu bersifat B2B (perniagaan-ke-perniagaan). Berapa lama lagi dua lagi (syarikat) boleh mula menghantar produk ayam mereka bergantung kepada perbincangan antara syarikat di kedua-dua negara,” tambahnya.
Beliau juga berkata, terdapat 12 syarikat Indonesia lain yang kini sedang memohon kebenaran untuk mengeksport produk ayam ke Singapura, yang mana kesemua permohonan itu telah dikemukakan kepada SFA.
Pihak SFA dalam pada itu memberitahu bahawa pertubuhan dan ladang individu di Indonesia perlu dinilai dan diluluskan, dengan penilaian dokumentari terperinci dan audit di tapak untuk pengesahan, sebelum diberi kebenaran untuk mengeksport makanan ke Singapura.
Terdahulu, Singapura mengimport 214,400 tan daging ayam sepanjang tahun lepas, dengan kira-kira satu pertiga daripadanya adalah dari Malaysia.
Namun, Malaysia telah melaksanakan larangan eksport sehingga 3.6 juta ekor ayam sebulan, berikutan isu bekalan dan harga ayam di pasaran Malaysia, dengan sebilangan peniaga ayam menjual keseluruhan ayam melebihi harga siling untuk menampung kos mereka.
Susulan larangan eksport berkenaan, Singapura mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan ayam dari tempat lain, termasuk Indonesia dan Thailand.
SFA mengumumkan pada 30 Jun lalu bahawa ia telah menambah Indonesia sebagai sumber baharu untuk import ayam sejuk, beku dan diproses.
Menurut anggaran Kementerian Pertanian Indonesia pada bulan lalu pula, pengeluaran daging ayam Indonesia sepanjang tahun 2022 dijangka mencecah 5.9 juta tan.
Permintaan domestik untuk daging ayam dianggarkan 5.3 juta tan metrik tahun ini yang bermakna terdapat lebihan purata bulanan sekitar 50,000 tan. – HARAKAHDAILY 12/7/2022




















