
DEWAN Ulamak PAS Pusat menyelar kenyataan provokasi yang dikeluarkan oleh jurucakap parti pemerintah Republik India, Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma serta seorang lagi ketua media BJP di Delhi, Naveen Jindal. Kenyataan yang jelas menghina Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W itu bermanifestasi daripada sikap kebencian terhadap Islam yang telah bersarang di sebalik ideologi Hindutva sejak sekian lama.
Pemerintahan BJP di India telah dikecam kerana sering kali melakukan tindakan provokasi khususnya terhadap umat Islam di sana. Pada Februari lalu, pemakaian hijab oleh pelajar Muslimah di salah sebuah negeri di republik tersebut dihina dan dilarang memasuki kolej. Tragedi Islamofobia begitu menyemarak di negeri-negeri yang dikuasai oleh BJP.
Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra mengeluarkan suatu nota bantahan diplomatik tegas terhadap apa yang berlaku meskipun BJP telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua individu penting parti tersebut. Langkah tersebut tidak menghairankan kerana BJP sendiri berhadapan dengan tekanan diplomasi dan ekonomi susulan reaksi balas bantahan dan pemboikotan produk-produk keluaran Republik India oleh beberapa negara umat Islam yang lain seperti Kuwait, Oman dan kebanyakan negara Teluk.
Tindakan melampau yang berterusan tersebut wajar dibendung. Sewajarnya semua pihak menjaga sensiviti agama dan tidak mencampuri apatah lagi menghina seorang yang mulia di sisi agama Islam. Ia adalah nilai sejagat yang perlu dihormati.
YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/6/2022




















