
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menganjurkan kursus bagi memberi pendedahan kepada usahawan tempatan peluang perniagaan menggunakan internet.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembanguan Usahawan Dato’ Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri menyalur peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menganjurkan kursus tersebut pada 2020.
Katanya, penyertaan kursus teresbut begitu menggalakkan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.
“Ketika pelaksanaan PKP usahawan rata-rata berniaga menggunakan platform internet. Mereka tidak perlu membuka kedai.
“Usahawan terbabit termasuk mereka yang berniaga pakaian dan komestik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.
Menurutnya juga ada usahawan dalam kalangan anak-anak muda yang mengusahakan perniagaan komestik sehingga bergelar jutawan sekarang.
Sementara itu menjawab soalan Dato’ Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) katanya, kerajaan belum menerima sebarang aduan berkaitan monopoli perniagaan dalam kalangan warga asing termasuk dari Bangladesh dan Pakistan.
Bagaimanpun katanya beliau sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Tempatan dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan mengenai isu tersebut.
“Kalau ada aduan kita akan ambil tindakan sewajarnya. Kita bukan anti orang luar, sebaliknya memberi ruang kepada anak-anak tempatan berniaga,” ujarnya.
Abdul Aziz sebelum ini mendedahkan ada warga asing terutamanya Bangladesh dan Pakistan memonopoli perniagaan kedai runcit di Kelantan.
Menjelas isu sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, strategi warga asing berkahwin dengan wanita tempatan untuk membolehkan mereka menetap di negara ini.
Oleh itu katanya orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana ada warga asing mengambil peluang berkahwin dengan penduduk tempatan untuk bertapak dalam bidang perniagaan. – HARAKAHDAILY 31/3/2022




















