Naik taraf Tok Bali ‘supply base’ kepada pelabuhan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sedang berusaha menaik taraf supply base di Tok Bali kepada pelabuhan secara berperingkat.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ECER membantu menaik taraf bagi melengkapi fungsi sebagai sebuah pelabuhan.

Katanya, ECER sedang penuhi kriteria yang ditetapkan untuk menjadikan Tok Bali sebagai pelabuhan daripada supply base sekarang.

- Advertisement -

“Bagaimanapun masalah yang dihadapi perairan di Tok Bali agak cetek untuk membolehkan kapal-kapal besar berlabuh.

“Kedalaman air perlu sehingga 8 meter bagi membolehkan kapal besar berlabuh, ini masalah yang perlu ditangani,” katanya ketika menjawab soalan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada persidangan Dun hari ini.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan perlu memastikan pelabuhan Tok Bali mempunyai aktiviti eksport dan import antaranya minyak sawit mentah dan mineral bagi membolehkannya berfungsi.

Menurutnya juga Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur membuat pelaburan sehingga RM387 juta bagi membangunkan Tok Bali termasuk dalam bidang pertanian.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) beliau berkata, kerajaan melaksanakan penguatkuasaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi nelayan asing mulai Januari 2022 kerana mengambil kira faktor keselamatan.

Kata beliau pada dasarnya pelaksanaan pas tersebut untuk keselamatan nelayan tempatan dan menjaga sumber perikanan di perairan negara.

“Perkara itu dibincang dalam jawatankuasa khas. Berdasar maklumat ada bot yang mendaratkan ikan di Tok Bali, namun dibawa semula ke Thailand untuk diproses.

“Sedangkan hasrat kita supaya ikan tersebut diproses di Tok Bali tanpa perlu dibawa ke Thailand,” katanya.

Pada awal tahun ini Jabatan Imigresen Malaysia memberitahu akan mengambil tindakan terhadap nelayan warga asing yang gagal memohon Pas Lawatan Kerja Sementara.

Sebelum itu Wan Hassan berkata, sehingga sekarang hanya 30 daripada 500 bot nelayan besar yang beroperasi setelah penguatkuasaan pas kerja untuk nelayan asing.

Oleh itu beliau bimbang aktiviti perikanan di Tok Bali tidak lagi rancak dengan penguatkuasaan peraturan tersebut kerana pengusaha bot laut dalam sukar mendapatkan pekerja dalam kalangan nelayan asing. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -