Awan debu panas Gunung Merapi hujani lapan kampung

Orang ramai mengunjungi lokasi aliran lahar panas Gunung Merapi, di timur bunker Kaliadem Cangkringan Sleman pada 10 Mac 2022. (FOTO: Agus Septiawan/detikJateng)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

YOGYAKARTA: Awan debu panas atau lahar akibat letusan Gunung Merapi di sini semalam (10 Mac) telah menghujani sebanyak lapan kampung di daerah  Desa Tlogolele, Kecamatan Selo, Kabupaten Boyolali, di wilayah Jawa Tengah.

Ketua Desa Tlogolele, Ngadi dalam kenyataannya pada Jumaat (11 Mac) berkata, awan lahar yang dihasilkan letusan Gunung Merapi yang mula tercetus pada lewat malam Rabu (9 Mac) itu mula melanda di daerah itu menjelang pagi Khamis (10 Mac).

“Awan debu panas Gunung Merapi telah menghujani kampung-kampung di daerah Desa Tlogolele sekejap sahaja kerana ketika itu hujan turun di kawasan ini, menyebabkan ia bertukar menjadi abu yang dingin dan kemudian hanyut dibawa air hujan,” ujarnya, sebagaimana menurut laporan agensi berita Indonesia, Harian Terbit.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, mukim Selo Boyolali di Tlogolele, setakat Khamis, berada dalam keadaan selamat dan terkawal. 

“Penduduk tetap tenang dan menjalankan aktiviti seperti biasa bekerja di sawah masing-masing seperti biasa,” jelasnya sambil menambah selain Tlogolele, tujuh kampung lain yang turut dihujani awan debu panas Gunung Merapi kali ialah Tlogomulyo, Ngadirojo, Karang, Gumukrejo, Belang, Takeran, dan Stabelan.

“Bagaimanapun, penduduk di lapan kampung yang terjejas akibat dihujani awan debu panas Gunung Merapi itu tidak diarahkan berpindah. 

“Mereka tetap tenang dan menjalankan aktiviti seperti biasa. Namun begitu, penduduk tetap berwaspada berhubung pembangunan Gunung Merapi,” katanya.

Orang ramai berjalan di atas abu lahar

Dalam pada itu, lokasi titik terjauh awan debu panas Gunung Merapi menjadi lokasi segera menjadi lokasi pelancongan. 

Ramai penduduk dengan perasaan ingin tahu mengunjungi lokasi di timur bunker Kaliadem Cangkringan Sleman, pada petang Khamis (10 Mac).

Salah seorang daripadanya ialah Andika, penduduk Kaliadem Cangkringan Sleman yang datang bersama rakan-rakannya ke lokasi aliran lahar Gunung Merapi di situ.

“Kami cuma ingin tahu,” katanya kepada agensi media tempatan, detikJateng

Sejak 5 November 2020 lalu, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi (BPPTKG) Indonesia telah meningkatkan status Gunung Berapi kepada Tahap Tiga, peningkatan status yang dilakukan berdasarkan pemantauan dan penilaian data dari BPPTKG, yang mana getaran gempa terjadi secara intensif mulai Oktober 2020. (FOTO Phinemo.com)

Bukan setakat bergambar berhampiran kesan aliran lahar Gunung Merapi, Andika malah cuba berjalan di atas timbunan abu kesan daripada aliran lahar berkenaan.

Ketika hendak berjalan di atasnya, Andika mengakui kakinya agak kepanasan. Bukan itu sahaja, bahang panas turut dirasai ke seluruh tubuhnya.

“Ya, masih panas, sampai badan terasa panas,” katanya.

Ketika kejadian, Andika mendakwa terdengar letupan impak letusan Gunung Merapi tepat jam 23.30 waktu Indonesia Barat (WIB), yang menurutnya mirip bunyi lori sedang memunggah batu-batuan.

Terdahulu, letusan Gunung Merapi berkenaan yang mengeluarkan awan abu panas sekurang-kurangnya tujuh kali sebelum dan selepas tengah malam

Sebelum ia kemudiannya mengalir sebagai lava hasil aliran piroklastik yang bergerak pantas, campuran batu, lahar dan gas, yang bergerak sehingga 5 kilometer menuruni cerunnya.

Situasi menggerunkan itu telah menyebabkan kira-kira 250 penduduk terpaksa melarikan diri ke pusat perlindungan sementara  dan meninggalkan kampung dan bandar yang diselubungi abu tebal. 

Sebelum meletus pada lewat malam Rabu, 8 Mac 2022, kali terakhir Gunung Merapi meletus ialah pada 2010 yang telah mengorbankan 347 penduduk kampung, manakala 20,000 yang lain dipindahkan. (FOTO AP)

Biro Bencana Negara Indonesia dalam satu kenyataan menurut laporan AP mengesahkan bahawa gunung berapi di pulau Jawa yang berpenduduk padat itu mengeluarkan awan debu panas, sekurang-kurangnya tujuh kali sejak jam 11.18 malam Rabu (9 Mac) hingga 7.33 pagi Khamis WIB.

Sementara jurucakap Agensi Mitigasi Indonesia, Abdul Muhari dalam satu kenyataan memberitahu, bunyi gemuruh kedengaran beberapa kilometer jauhnya.

“Seramai 253 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Glagaharjo dan Umbulharjo di wilayah Yogyakarta dan di daerah Klaten di Jawa Tengah susulan bahaya lava yang dikeluarkan Gunung Merapi.

“Awan debu panas daripada letusan itu menyelubungi beberapa kampung dan pekan berhampiran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” jelas beliau.

Gunung berapi paling aktif

Dalam pada Agensi Penyelidikan Geologi dan Vulkanologi Indonesia menasihatkan, penduduk yang tinggal di lereng subur Gunung Merapi supaya menjauhi 7km dari mulut kawah.

“Penduduk  harus sedar tentang bahaya yang ditimbulkan oleh lahar (lava) Gunung Merapi,” ujar kenyataan tersebut.

Sukarelawan sedang memantau Gunung Merapi di pos pantau Ngrangkah, Kinarejo, Sleman, Yogyakarta pada 10 Mac 2022. (FOTO Pius Erlangga/detikJateng)

Gunung Merapi adalah yang paling aktif daripada lebih 120 gunung berapi aktif di Indonesia dan telah berulang kali meletus dengan awan lahar dan gas baru-baru ini. 

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia bagaimanapun tidak menaikkan status berjaga-jaga terhadap Gunung Merapi, yang sudah berada pada tahap kedua tertinggi daripada empat tahap sejak ia mula meletus November lalu.

Puncak setinggi 2,968 meter itu terletak berhampiran Yogyakarta, sebuah bandar purba dengan beberapa ratus ribu penduduk mendiami kawasan tersebut, yang mana ia bandar ini juga merupakan pusat kebudayaan Jawa dan pusat dinasti diraja sejak berabad-abad lalu.

Letusan besar kali terakhir Gunung Merapi berlaku pada 2010, mengorbankan 347 penduduk kampung, manakala 20,000 yang lain dipindahkan.

Indonesia yang merupakan sebuah kepulauan dengan 270 juta penduduk terdedah kepada gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana ia terletak di sepanjang ‘lingkaran api’, iaitu  siri garis sesar seismik berbentuk ladam di sekitar Lautan Pasifik.

Letusan besar terakhir adalah pada Disember tahun lepas, apabila Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di pulau Jawa meletus menyebabkan 48 orang terbunuh dan 36 hilang di kampung yang tertimbus dalam lapisan lumpur, selain penduduk cedera dengan mengalami luka terbakar yang serius, dan lebih 5,200 rumah dan bangunan rosak teruk. – Agensi 

- Advertisement -