
RIYADH: Arab Saudi telah menimbus 2,450 telaga terbiar di seluruh negara itu sebagai langkah keselamatan susulan tragedi kematian kanak-kanak lelaki, Rayan Awram di Maghribi.
Rayan yang berusia lima tahun, dikebumikan pada Isnin (7 Feb) lalu di kampungnya, Ighrane dalam wilayah Chefchaouen selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga kering dan sempit sedalam 32 meter (100 kaki) pada Selasa (1 Feb) lepas dan terperangkap di situ selama lima hari.
Susulan tragedi yang menimpa Rayan itu, Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, berkata pihaknya bertindak menimbus 2,450 pergi terbiar berkenaan ekoran kesukaran operasi menyelamat mangsa jika terjatuh ke dalam perigi-perigi tersebut.
“Bagi memastikan keselamatan orang ramai, Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian kini bertindak menimbus 2,450 telaga terbiar di seluruh negara ini,” ujar kenyataan kementerian itu.
Kementerian itu juga menyeru penduduk untuk melaporkan jika terdapat telaga yang tidak selamat atau tidak bertutup, dengan berkata: “Laporan anda akan melindungi anda dan orang lain.”
Tragedi yang menimpa Rayan dan membabitkan operasi menyelamat yang berakhir pada Sabtu (5 Feb) itu telah menarik perhatian global.

Pada hari pengebuman Rayan Isnin itu, ratusan hadirin berkabung meratapi pemergian kanak-kanak itu di tanah perkuburan yang terletak di lokasi terpencil di utara wilayah Chefchaouen, Maghribi beberapa kilometer (km) dari lokasi tragedi ketika seorang imam membacakan doa.
Tragedi kanak-kanak terjatuh ke dalam perigi terbiar di Arab Saudi pula pernah berlaku pada Disember 2013 dilaporkan Arab News, apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Lama Al-Rouqi ditemui tersangkut hampir 40 meter dalam sebuah telaga sedalam 100 meter di utara bandar Tabuk. – Agensi




















