Bot bawa pelarian Rohingya ditemui rosak dekat pantai Aceh

- Advertisement -

JAKARTA: Sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang dipercayai mengalami kerosakan ditemui di perairan berhampiran pantai Aceh di Sumatera, Indonesia, semalam.

Pelarian Rohingya dari Myanmar, sejak bertahun lalu menaiki bot menuju ke Malaysia, Indonesia dan Thailand, ketika keadaan laut tenang antara November hingga April.

- Advertisement -

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan bahawa bot terbabit dikesan Ahad lalu, di perairan berhampiran Bireuen, Aceh dan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa wilayah itu untuk menyelamatkan mereka.

Amnesty International Indonesia berdasarkan sumber pihak berkuasa tempatan, menyatakan bahawa kira-kira 70 pelarian berada dalam bot itu, manakala pemimpin komuniti nelayan tempatan, Badruddin Jusuf, menganggarkan kira-kira 120 pelarian.

Selain itu, Amnesty International menyatakan bahawa nelayan merayu pihak berkuasa tempatan menyelamatkan pelarian yang masih berada dalam bot.

“Perlu ada tanggungjawab bersama di kalangan negara rantau ini untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat supaya pelarian dapat mengelakkan bahaya di laut,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty Indonesia, Usman Hamid.

Lebih 730,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar sejak Ogos 2017 selepas tentera negara itu melancarkan tindakan keganasan, termasuk membunuh dan merogol. Kumpulan hak asasi manusia turut mendokumentasi tindakan tentera membunuh dan membakar rumah penduduk.

Pihak berkuasa Myanmar pula mendakwa tindakan itu adalah bagi menangani pemberontakan etnik Rohingya dan menafikan melakukan kekejaman secara sistematik.

Sejak beberapa tahun lalu, ribuan pelarian Rohingya yang menaiki bot tiba di Aceh, wilayah Indonesia paling dekat dari Myanmar atau Bangladesh dengan kebanyakan berada di laut berbulan-bulan. – HARAKAHDAILY 28/12/21

- Advertisement -