Pandangan ACCCIM akan disuarakan kepada kerajaan

- Advertisement -

KELMARIN dahulu saya telah mengadakan perbincangan secara maya bersama kepimpinan baharu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bagi membincangkan mengenai pelbagai perkara antaranya Belanjawan 2022.

Turut serta, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) merangkap Presiden ACCCIM, Dato’ Low Kian Chuan; Presiden Kehormat Seumur Hidup ACCCIM, Tan Sri Datuk Seri Utama William Cheng Heng Jem; Naib Presiden NCCIM merangkap Timbalan Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng; Setiausaha Agung ACCCIM Dato’ Tan Tian Meng dan Bendahari ACCCIM Encik Koong Lin Loong. 

- Advertisement -

ACCCIM telah mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi juga perlu menambahbaik SOP untuk menangani pandemik COVID-19. Kerajaan juga digesa supaya lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambahbaik sistem kesihatan negara serta memperkukuhkan kemampuan negara untuk menghadapi pandemik. Menyentuh ekonomi domestik, kerajaan dicadangkan agar memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan; pengurangan dan pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan; serta lain-lain lagi. 

Saya berpendapat bahawa masyarakat juga harus bersedia untuk hidup bersama COVID-19 pada masa depan kerana pandemik ini telah mengubah kehidupan harian kita, pelbagai ekosistem industri dan trend pembangunan. Oleh itu, kita akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur asing serta membantu dalam pemulihan dan merangsang industri tempatan. Pada masa sama, memastikan projek infrarakyat seperti ECRL, RTS dan MRT3 dapat dibangunkan sepenuhnya, supaya ia mampu membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara. 

Kerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai keseimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang komprehensif dan inklusif, selari dengan semangat Keluarga Malaysia demi membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

DATO’ SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1002345083266329/posts/1988748894625938/

- Advertisement -