
KUNAK: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham oleh buaya di ladang KLK Jatika, di sini telah dijumpai dalam keadaan tidak sempurna pada jam 9.40 pagi tadi oleh orang awam dan pasukan Bomba sejauh kira-kira 600 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
Kejadian yang melibatkan mangsa, Ridwan Mawir, 50, itu dilaporkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak pada jam 11.18 pagi semalam melalui talian terus ke balai sebelum pasukan Bomba digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer.
Ketua BBP Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 7.10 pagi dengan menggunakan bot pasukan operasi dan orang awam di sepanjang sungai tempat mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Bagaimanapun, jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna iaitu sebelah kaki, kepala dan separuh badan sudah tiada. Kita syaki dibaham buaya,” katanya.
Mohammad dalam pada itu berkata, mayat mangsa telah dibawa ke kawasan kampung dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 10.48 pagi selepas semuanya selesai,” tambahnya.
Terdahulu, mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di sungai berkenaan pada pagi semalam.
Menurut saksi yang merupakan rakan mangsa, lelaki terbabit telah disambar buaya di sungai berkenaan, sebelum membuat laporan kecemasan mengenai kejadian itu.
Selain BBPM, operasi SAR itu turut melibatkan agensi lain seperti PDRM, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung. – HARAKAHDAILY 1/10/2024




















