
KATHMANDU, Nepal: Sekurang-kurangnya 63 orang hilang di Nepal selepas tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat menghanyutkan dua buah bas dari lebuh raya ke dalam sungai berhampiran.
Berpuluh-puluh anggota mencari dan menyelamat sedang menyusuri tapak lokasi kejadian untuk mencari mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang berlaku di daerah tengah Chitwan itu, lapor AFP.
Pegawai daerah Chitwan, Khimananda Bhusal pada hari ini, Jumaat (12 Julai) berkata, kedua-dua bas malang itu membawa sekurang-kurangnya 66 penumpang tetapi tiga daripadanya berjaya menyelamatkan diri sebelum mereka dirempuh laluan air dan kini dirawat di hospital.
“Kami tidak pasti jumlah keseluruhan mangsa kerana kedua-dua bas itu mungkin mengambil penumpang yang lain di laluan jalan raya yang dilaluinya sebelum kejadian.
“Air sungai ini telah melimpah dan setakat ini tiada mangsa lain sudah ditemui,” katanya.
Kemalangan itu berlaku di lokasi yang terletak di sepanjang lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 100 kilometer (60 batu) ke barat ibu kota Kathmandu
Sehubungan itu Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal telah melahirkan rasa sedih atas kemalangan itu dalam catatan di platform media sosial X miliknya.
“Saya mengarahkan semua agensi kerajaan termasuk pentadbiran dalam negeri untuk mencari dan menyelamatkan penumpang dengan berkesan,” katanya.
Kemalangan maut adalah perkara biasa di negara Himalaya itu kerana sistem jalan yang tidak sempurna, kenderaan yang diselenggara dengan teruk dan pemanduan yang melulu.
Perjalanan jalan raya menjadi lebih berbahaya ketika musim tengkujuh kerana hujan lebat pada bila-bila masa boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat melanda. – HARAKAHDAILY 12/7/2024




















