‘Kalau PH menang, kami akan fail petisyen pilihan raya’

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

HULU SELANGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) berhasrat untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, petisyen itu akan dikemukakan bergantung kepada keputusan pilihan raya.

- Advertisement -

“Kami memberi amaran yang sepatutnya tak perlu memberi amaran. Mana-mana calon dan parti yang kalah atau terkesan daripada keputusan pilihan raya boleh memfailkan petisyen pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas calon PN, Khairul Azhari Saut membentangkan manifestonya di Kafe Bi Box, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau sebagai peguam telah mengendalikan petisyen melibatkan tiga Parlimen di Terengganu termasuk Kelantan dan Melaka.

Tambah beliau, Mahkamah Pilihan Raya telah membuat ketetapan bahawa penyaluran bantuan oleh kerajaan kepada pengundi dalam kawasan pilihan raya adalah rasuah.

“Oleh sebab itu, keputusan di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman telah dibatalkan meskipun kerajaan negeri yang pada masa itu belum dibubarkan lagi.

“Dia (Ahli Parlimen) melaksanakan tanggungjawab memberi bantuan kepada rakyat Terengganu berdasarkan kepada bajet. Tapi Mahkamah Pilihan Raya masih mengatakan bahawa itu rasuah pilihan raya,” katanya.

Oleh demikian, kata Takiyuddin PH telah menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Kita sudah ada banyak bukti penyaluran dan penyalahgunaan jentera kerajaan dan juga pemberian yang bagi kami adalah suatu rasuah pilihan raya.

“Sekiranya ditakdirkan PH menang, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya. Itu sudah pasti. Kita ada kes seperti di Kuala Terengganu dan Kemaman,” katanya.

Malah katanya, bukti tersebut akan dikemukakan ketika permohonan petisyen berkenaan dibuat.

“Bukti pelanggaran kami ada secara video, catatan dan sebagainya. Kita sudah kumpulkan perkara ini. Jadi saya menyeru kepada pengundi Kuala Kubu Bharu, jika tak nak mengundi sekali lagi PRK pastikan PN akan menang dalam pilihan raya kali ini

“Kalau PH menang pasti kami akan memfailkan petisyen pilihan raya nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -