Bom, virus bayangi serangan Israel di bumi Iran

Lokasi saintis terkemuka Iran, Mohsen Fakhrizadeh terbunuh di Absard, sebuah bandar kecil di timur Tehran, Iran pada 27 November 2020. (FOTO FAIL: Fars News Agency melalui AP); Gambar kecil: Mohsen Fakhrizadeh dalam foto tidak bertarikh.
- Advertisement -

PEMIMPIN Israel telah memberi isyarat bahawa mereka sedang mempertimbangkan pilihan mengenai cara untuk bertindak balas terhadap serangan Iran ke atas negara haram itu awal pagi Ahad (14 April) lalu, apabila Tehran menyasarkan musuh utamanya berkenaan dengan lebih daripada 300 peluru berpandu dan dron.

Serangan Iran, yang menyusuli serangan Israel pada minggu lalu (1 April) ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria itu adalah kali pertama dilancarkan Tehran secara langsung menyasarkan bumi Israel, walaupun sudah berdekad-dekad saling bermusuhan.

- Advertisement -

Sehingga Ahad itu, barisan sekutu Iran dalam apa yang dilabelkan sebagai ‘Paksi Penentangan’ – terutamanya kumpulan pejuang Palestin Hamas, kumpulan Lubnan Hizbullah, Houthi Yaman dan kumpulan bersenjata di Iraq dan Syria – adalah yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu dan dron ke Israel.

Namun, jika Israel menyerang balik secara ketenteraan ke atas Iran, ia bukan kali pertama. Selama bertahun-tahun, Israel telah memberi tumpuan kepada satu sasaran dalam Iran khususnya program nuklear negara Republik Islam itu.

Israel sudah lama menuduh Iran secara rahsia membina bom nuklear yang boleh mengancam kewujudannya – dan secara terbuka, dan kerap, bercakap tentang usaha diplomatik dan didorong oleh perisikannya untuk menggagalkan usaha yang didakwa itu.

Iran sebaliknya menafikan bahawa ia mempunyai program nuklear ketenteraan, sambil berhujah bahawa ia mempunyai hak untuk mengakses tenaga nuklear awam.

Ketika Israel berkemungkinan sedang menyediakan tindak balasnya, berikut adalah senarai pelbagai serangan negara haram laknatullah yang telah dilakukannya di bumi Iran – daripada serangan dron dan serangan siber kepada pembunuhan saintis dan pencurian data secara rahsia; bahawa Israel sama ada berada di sebalik atau seratus peratus ialah dalangnya.

Pembunuhan saintis Iran

Januari 2010: Seorang profesor fizik di Universiti Tehran, Masoud Ali-Mohammadi, terbunuh akibat serangan bom kawalan jauh yang ditanam di motosikal yang dinaikinya. Media negara Iran mendakwa bahawa Amerika Syarikat dan Israel berada di belakang serangan itu. Kerajaan Iran menyifatkan Ali-Mohammadi sebagai seorang saintis nuklear.

November 2010: Seorang profesor di Fakulti Kejuruteraan Nuklear di Universiti Shahid Beheshti, Tehran, Majid Shahriari, terbunuh akibat letupan kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya, manakala isterinya cedera. Presiden Iran pada ketika itu, Mahmoud Ahmadinejad menyalahkan AS dan Israel atas serangan tersebut.

Januari 2012: Mostafa Ahmadi Roshan, seorang graduan kejuruteraan kimia, maut akibat terkena bom yang diletakkan di atas keretanya oleh seorang penunggang motosikal di Tehran. Iran juga menyalahkan Israel dan AS atas serangan itu dan berkata, Ahmadi Roshan ialah seorang saintis nuklear yang menyelia sebuah jabatan di kemudahan pengayaan uranium utama Iran, di bandar Natanz.

November 2020: Saintis nuklear terkemuka Iran, Mohsen Fakhrizadeh terbunuh dalam serangan di tepi jalan di luar Tehran. Perisikan Barat dan Israel telah lama mengesyaki bahawa Fakhrizadeh adalah ‘bapa kepada program senjata nuklear Iran’.

Mei 2022: Kolonel Hassan Sayyad Khodaei dari Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ditembak lima kali di luar rumahnya di Tehran. Majid Mirahmadi, ahli Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, mendakwa pembunuhan itu ‘sudah tentu kerja Israel’.

Serangan siber Israel ke atas Iran

Jun 2010: Virus Stuxnet ditemui dalam komputer di loji nuklear di bandar Bushehr Iran, dan ia merebak dari sana ke kemudahan lain. Sebanyak 30,000 komputer merentasi sekurang-kurangnya 14 kemudahan telah terjejas menjelang September 2010. Sekurang-kurangnya 1,000 daripada 9,000 mesin (dengan bekas berputar pantas yang menggunakan daya emparan dalam kandungannya) di pusat saintifik, Natanz Iran telah dimusnahkan, menurut anggaran Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa. Setelah disiasat, Iran menyalahkan Israel dan AS atas serangan virus itu.

April 2011: Virus yang dipanggil Stars ditemui oleh agensi pertahanan siber Iran yang mengatakan perisian hasad itu direka untuk menyusup dan merosakkan kemudahan nuklear Iran. Menurut Ketua Organisasi Pertahanan Pasif Iran, Gholamreza Jalali, virus berkenaan telah ‘meniru’ (menyalin) fail rasmi kerajaan dan menyebabkan ‘kerosakan kecil’ pada sistem komputer. Iran menyalahkan Israel dan AS susulan insiden berkenaan.

November 2011: Iran berkata ia menemui virus baharu yang dipanggil Duqu, berdasarkan Stuxnet. Pakar berkata Duqu bertujuan untuk mengumpul data untuk serangan siber pada masa hadapan. Kerajaan Iran mengumumkan ia telah memeriksa komputer di tapak nuklear utama itu. Perisian pengintip Duqu secara meluas dipercayai oleh pakar saintis Iran dikaitkan dengan Israel.

April 2012: Iran menyalahkan AS dan Israel atas perisian hasad yang dipanggil Wiper, yang memadamkan cakera keras komputer yang dimiliki oleh Kementerian Petroleum dan Syarikat Minyak Iran Kebangsaan.

Mei 2012: Iran mengumumkan bahawa virus yang dipanggil Flame telah cuba mencuri data kerajaan daripada komputer kerajaan. The Washington Post melaporkan bahawa Israel dan AS telah menggunakannya untuk mengumpul risikan. Naib Perdana Menteri Israel ketika itu Moshe Yaalon tidak mengesahkan penglibatan negara itu tetapi mengakui bahawa Israel akan menggunakan segala cara untuk ‘memudaratkan sistem nuklear Iran’.

Oktober 2018: Kerajaan Iran berkata bahawa ia telah menyekat pencerobohan oleh generasi baharu Stuxnet, menyalahkan Israel atas serangan itu.

Oktober 2021: Serangan siber melanda sistem yang membenarkan rakyat Iran menggunakan kad keluaran kerajaan untuk membeli bahan api pada kadar subsidi, yang menjejaskan semua 4,300 stesen minyak di Iran. Pengguna perlu sama ada membayar harga biasa, lebih daripada dua kali ganda harga subsidi, atau menunggu stesen menyambung semula ke sistem pengedaran pusat. Iran menyalahkan Israel dan AS.

Mei 2020: Serangan siber menjejaskan komputer yang mengawal trafik maritim di pelabuhan Shahid Rajaee di pantai selatan Iran di Teluk, menyebabkan kapal yang menunggu untuk berlabuh. The Washington Post memetik pegawai kerajaan AS sebagai berkata bahawa Israel berada di belakang serangan itu, walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab.

Dron Israel serang Iran

Januari 2018: Ejen Mossad telah menyerbu satu lokasi di Tehran, mencuri arkib nuklear sulit. Pada April 2018, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa bahawa Israel telah menemui 100,000 ‘fail rahsia yang membuktikan’ Iran berbohong tentang kenyataannya tidak pernah mempunyai program senjata nuklear.

Februari 2022: Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengakui dalam op-ed yang diterbitkan dalam The Wall Street Journal pada Disember 2023, bahawa Israel melakukan serangan ke atas kenderaan udara tanpa pemandu, dan membunuh seorang komander kanan IRGC pada Februari tahun sebelumnya.

Mei 2022: Dron quadcopter sarat bahan letupan melanda kompleks tentera Parchin di tenggara Tehran, membunuh seorang jurutera dan merosakkan bangunan di mana dron telah dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera. Komander IRGC, Hossein Salami berjanji membalas dendam terhadap ‘musuh’ yang tidak ditentukan.

Januari 2023: Beberapa dron berani mati menyerang kemudahan tentera di tengah Isfahan, tetapi ia dihalang dan tidak menyebabkan senbarang kerosakan atau kehilangan nyawa. Walaupun Iran tidak segera menyalahkan AS mahupun Israel sebagai dalang serangan itu, wakil Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, menulis surat kepada ketua PBB mengatakan bahawa ‘penyiasatan utama mencadangkan Israel bertanggungjawab’.

Februari 2024: Saluran paip gas asli di Iran diserang. Menteri Minyak Iran, Javad Owji menegaskan bahawa ‘letupan saluran paip gas Iran adalah rancangan jahat Israel’. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -