DPPNP tuntut penjelasan MB Pahang, CEO PAIP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) menuntut penjelasan dan mendesak permohonan maaf Menteri Besar (MB) Pahang dan CEO Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) kepada rakyat atas permasalahan gangguan bekalan air khususnya yang berlaku pada bulan Syawal.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih turut menuntut untuk dibentangkan kepada rakyat pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani pemasalahan air ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri perlu fokus kepada penyelesaian dan tidak perlu menuding jari ke tempat lain kerana rakyat Pahang sendiri yang mengadu dan mengalami masalah air ini saban tahun.

“Jangan lihat rakyat yang mengadu semuanya ada motif politik namun kerajaan negeri perlu berjiwa besar untuk selesaikan dengan segera isu kebajikan rakyat sementelah Menteri Besar mengakui hasil keuntungan saban tahun kerajaan negeri meningkat, maka hasil itu perlu digunakan untuk selesaikan pemasalahan ini dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa hari ini menurut beliau, tular rintihan rakyat negeri Pahang di beberapa tempat khususnya di Jerantut, Rompin dan beberapa tempat lagi mengenai gangguan bekalan air hinggakan tertubuhnya sebuah grup di Facebook, ‘PAIP Pahang buat hal apa hari ni’, yang dipenuhi dengan hantaran berkenaan masalah air di Pahang.

Dalam pada itu, ia seperti menjadi satu rutin di Negeri Pahang apabila kedatangan Syawal, gangguan bekalan air berlaku, sedangkan portfolio air ini di bawah seliaan portfolio YAB Menteri Besar Pahang.

“Mendengar rintihan rakyat, kami Pemuda PAS Pahang kesal dengan apa yang berlaku tatkala Aidilfitri adalah hari untuk gembira dan meraikan kemenangan tetapi sudah beberapa kali dan saban tahun Syawal menjadi bulan rakyat berperang dengan permasalahan air.

“Sepertinya tiada satu pelan tindakan luar jangka untuk mengatasi gangguan bekalan air ketika Syawal oleh YAB Menteri Besar Pahang dan juga CEO PAIP badan yang menguruskan perihal air di Pahang.

“Tanpa menafikan usaha yang dilakukan oleh kakitangan PAIP yang terpaksa bertungkus lumus menangani pemasalahan ini tatkala sepatutnya mereka juga meraikan Aidilfitri, kami mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan dan tanggungjawab semua kakitangan PAIP,” tambah Zarimi.

Sebelum ini menurutnya, Pemuda PAS Negeri Pahang telah menyerahkan memorandum isu air yang berlaku di negeri ini kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional (PN) untuk dibawa pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada 9 Mei 2023.

“Pemuda PAS Pahang telah mendesak kerajaan negeri pada ketika itu supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu air yang berlaku hampir di semua daerah di Pahang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -