Isu ladang Musang King: Keputusan Mahkamah Kuantan wajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 186 pekebun durian Musang King di Raub, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang terhadap mereka sebelum ini adalah wajar.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, hampir kira-kira 4,400 hektar tanah kerajaan di Raub diceroboh secara haram adalah bukan perkara yang kecil.

- Advertisement -

“Keputusan menolak rayuan pekebun-pekebun yang menceroboh adalah tindakan yang wajar.

“Namun, pihak berkenaan perlu meneliti sekiranya perlu menolak dan diam atau perlu ada tindakan yang lebih tegas supaya kejadian sebegini tidak dipandang enteng oleh mana-mana pihak.

“Pencerobohan tanah kerajaan secara haram adalah tindakan yang melanggar undang-undang yang serius dan merugikan masyarakat serta negara secara keseluruhan.

“Ia mempunyai kesan negatif yang besar terhadap kestabilan, kedaulatan, dan pembangunan negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, setelah beberapa tahun isu pekebun haram menceroboh tanah kerajaan, akhirnya rakyat Pahang boleh menarik nafas lega dengan keputusan terkini mahkamah.

“Pekebun yang menceroboh tanah kerajaan secara haram tanpa kebenaran perlu akur dengan keputusan mahkamah dan perlu bersedia untuk menerima apa saja tindakan yang akan dikenakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -