Aset kerajaan perlu digunakan, bukan disimpan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa perlu mengambil langkah yang lebih agresif dalam menyelesaikan isu kebakaran hutan di negeri Pahang.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aire Roslan berkata demikian, berikutan sudah beberapa hari petugas dan penyelamat menggembleng tenaga untuk memadamkan kebakaran hutan yang terjadi di negeri itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, PAS Pahang menjunjung kasih di atas keprihatinan dan cadangan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menggunakan aset udara bagi menyelesaikan masalah kebakaran hutan yang berlaku.

“Pihak kerajaan perlu menyambut titah Tuanku supaya aset udara digunakan sebaiknya Sudah tiba masa pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif dalam menyelesaikan isu ini.

“Jangan sampai nasi dah jadi bubur, baru kita nak ambil tindakan. Gunakanlah aset yang kita ada untuk keharmonian dan keselamatan negara dan bukannya sekadar untuk disimpan,” ujarnya menerusi perkongsian media sosialnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat hujan yang turun. Mudah-mudahan hujan yang turun ini dapat memberikan kebaikan kepada kita semua.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada PAS Pahang kepada pihak bomba kerana telah bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan menjalankan tanggungjawab dengan sangat baik, ” katanya. – HARAKAHDAILY 14/04/2024

- Advertisement -