Bakar, buang beras: Tindakan undang-undang boleh dikenakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 bagi kesalahan isu beras yang dibakar dan dibuang di Kuala Krau, Pahang baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, jenis kesalahan yang boleh dikenakan menggunakan akta ini adalah pertama kerana menyimpan beras melebihi had yang dibenarkan dan kedua menyimpan beras di dalam stor atau gudang yang bukan dilesenkan.

- Advertisement -

Menurutnya, isu beras yang dibuang dan dibakar di Kuala Krau adalah akibat rosak disimpan terlalu lama, namun ada penduduk yang mengambil inisiatif membuat siasatan dan terbukti masih ada barangan makanan yang boleh digunakan!

“Pembaziran dan penganiayaan kepada makanan ini dah melarat dalam kalangan kita.Kecoh beras rosak dibuang dan dibakar di Pahang, (tetapi) Kedah dan Terengganu pula jadi sasaran.

“Di Kedah, rakyat di beberapa kawasan pedalaman mahir menanam padi huma atau dipanggil padi bukit. Tanaman ini telah diusahakan sekian lama.

“Lembaga Zakat Kedah telah memulakan inisiatif bantuan menanam padi huma dengan menumpukan kawasan tanah terbiar di Sik. Bukan dengan menebang pokok dan balak.

“Sik ada sejumlah keluasan tanah terbiar yang subur dan berpotensi untuk menjadi hab penanaman padi huma di Kedah.

“Padi huma ada kualiti tersendiri. Beras lebih enak dan wangi. Disebakan itu, ada permintaan tinggi di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Tambahnya, hasil kajian dari Universiti Putra Malaysia juga bersetuju dengan cadangan agar penanaman padi huma dikomersialkan sebagai alternatif meningkatkan bekalan beras tempatan dan ubi kayu tidak boleh menjadi pengganti kepada beras.

“Di Terengganu ada Beras Ganu. Beras MyGAP yang berkualiti. Kerajaan negeri beri insentif khusus kepada pesawah untuk hasilkan padi MyGAP dan diproses tanpa campuran padi biasa.

“Ketika berlaku krisis kenaikan harga beras dan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran, Beras Ganu jadi penyelamat di Terengganu. Dijual dengan harga berpatutan mengikut kadar harga beras biasa di pasaran.

“Walaupun baru diusahakan dalam skala kecil, usaha ini membantu meningkatkan bekalan beras berkualiti dalam negara.

“Begitulah aktifnya pimpinan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) cuba menyelesaikan masalah rakyat walaupun terdapat beberapa kekangan dan sekatan.

“Semoga Kerajaan Madani insaf dan fokus bekerja untuk rakyat melalui prinsip serta semangat federalisme yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -