Isu pusat pelupusan Bukit Pelanduk pernah dibangkitkan 2023

Kamarol Ridzuan Md Zain
- Advertisement -

SEREMBAN: Isu perkaitan Pusat Pelupusan Bahan Kimia di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelanduk dalam DUN Negeri Sembilan pernah dibangkitkan pada tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain berkata beliau telah menampilkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku lagi kebakaran di pusat tersebut, yang boleh membahayakan keselamatan penduduk sekitar, susulan terdapat lebih 70 sisa bahan kimia disimpan di situ.

- Advertisement -

Kamarol berkata demikian, ketika mengulas kejadian kebakaran yang menyebabkan logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan kira-kira 900 meter persegi itu musnah sepenuhnya dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Pada 12 Oktober tahun lepas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), saya telah membangkitkan perkara ini. Pada Oktober 2019 dan pada 2015 sudah pernah berlaku kebakaran di situ. Kerana itu kita bangkitkan.

“Seperti yang pernah saya sebut dalam DUN, kawasan itu terletak berdekatan penempatan penduduk. Jika berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian pada 2 Oktober 2019, ‘buffer’ tu berdekatan 500 meter dari penduduk,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, menegaskan bahawa tapak pelupusan itu terlalu berbahaya, yang mana apabila berlaku kebakaran ia akan menyebabkan pelepasan asap daripada lebih 70 jenis sisa toksik bahan kimia.

“Pusat Kualiti Alam berdekatan dengan kawasan Sendayan yang berpendudukan padat dan sedang membangun taman perumahan dengan pesat, termasuk Masjid Sendayan yang menjadi tumpuan pelancong.

“Ia sudah beroperasi lebih 25 tahun dan sudah sepatutnya toksik yang ditanam di sini akan membahayakan penduduk,” ujar beliau.

Tambahnya, operasi kilang pembakaran toksik akan mencemarkan udara disebabkan kawasan berpendudukan yg dijangkakan padat di sekitarnya dan merbahaya untuk kesihatan penduduk jangka masa panjang.

“Dalam ucapan saya pada masa itu kita suarakan agar pusat pelupusan itu dipindahkan ke kawasan lain yang jauh dari penempatan.

“Namun kita tidak nampak ada usaha itu. Dan akhirnya pada Jumaat baru-baru ini apa yang kita bimbangkan akhirnya berlaku lagi,” katanya kepada HarakahDaily.

Sementara itu, berdasarkan laporan sebuah portal berita, EXCO Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata penduduk di sekitar Sendayan tidak perlu bimbang kemungkinan berdepan masalah kesihatan susulan kebakaran tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Veerapan memaklumkan bahawa pemantauan setakat ini mendapati kualiti udara di kawasan itu terkawal. – HARAKAHDAILY 14/4/2024

- Advertisement -