4 jajahan di Kelantan catat cuaca panas tahap satu

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasir Mas, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang mencatat cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) iaitu 35 hingga 37°C selama tiga hari berturut-turut.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, suhu panas mulai berkurangan di Kelantan kecuali di empat jajahan terbabit.

Katanya sebelum ini banyak tempat di negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung berdepan dengan cuaca panas.

“Alhamdulillah banyak jajahan di Kelantan suhu sudah berkurangan daripada 35°C,” katanya di sini.

Pada 1 Syawal lepas hujan lebat melanda banyak tempat di Kelantan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C di beberapa kawasan berlaku sehingga pertengahan April.

Menurut MetMalaysia juga Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah mencatatkan cuaca panas tahap satu.

Ia turut membabitkan seluruh Perlis, Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Padang Terap dan Sik di Kedah serta pantai timur Pulau Pinang.

Selain itu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Gua Musang, Raub, Limbang, Tenom, Beaufort dan Tuaran.

Dalam pada itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 45 kes berkaitan haba sehingga 13 April lalu yang melibatkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.

Dua kes kematian akibat strok haba dilapor membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan kematian kedua melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -