KUALA KRAI: Menteri Besar (MB) Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut menyertai program ‘merai ikey’ di Sungai Pergau, Kampung Kandek bersama hampir 100 penduduk tempatan.
Aktiviti tahunan itu diadakan di kawasan sejauh dua kilometer untuk menghalau ikan sungai termasuk lapam, baung, kelah dan sebagainya masuk perangkap yang dipasang dengan pukat.
Program tersebut turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail; mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Abdullah Ya’kob; ADUN Dabong Ku Mohd Zaki Ku Hussin; ADUN Mengkebang, Zubir Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Ikan yang ditangkap dijadikan hidangan makan tengah hari bersama ulam-ulaman dan budu.
Sempena program itu juga Menteri Besar turut beramah mesra bersama penduduk bagi mendengar masalah yang mereka hadapi.
Memerai ikan merupakan aktiviti yang sinonim ketika musim kemarau Ketika paras air sungai cetek memudahkan penangkapan ikan.
Aktiviti itu diwarisi turun temurun penduduk di Hulu Kelantan dengan cara mengepung menggunakan batang pisang hutan, buluh runcing dan jala.
“Jemok kkiro bersama penduduk di Kampung Kandek menghidupkan amalan tradisi turun temurun dalam menangkap ikan dipanggil oleh masyarakat di sini ‘merai ikey’.
“Ambo meluangkan masa bersama penduduk kampung. Ambo dapat merasai pengalaman menggunakan peralatan tradisional bagi menangkap ikan,” katanya pada status di laman Facebooknya semalam. – HARAKAHDAILY 16/4/2024