Gema Aidilfitri DUN Selising rungkai masalah rakyat

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Pusat Khidmat DUN (PKD) Selising mencetus kelainan menganjurkan program rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila diadakan pada waktu malam.

- Advertisement -

Program Gema Aidilfitri DUN Selising itu menghidangkan sate, ketupat, aiskrim dan pelbagai lagi kepada tetamu yang hadir.

ADUN Selising Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu dimulakan dengan bacaan doa turut diadakan persembahan dikir barat, qasidah, cabutan bertuah dan jamuan.

Katanya, program itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api dan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak.

“Semoga Syawal kali ini memberi seribu satu makna dalam kita meraikan kemenangan sepanjang menjalani ibadah puasa,” katanya pada program tersebut baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, penghulu dan pemimpin masyarakat tempatan.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, orang ramai turut diberi peluang mengemukakan sebarang masalah yang mereka hadapi.

“Ini menggambarkan kerajaan negeri sentiasa cakna kepada rakyat,” ujarnya.

Manakala Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula mengadakan Rumah Terbuka DUN Temangan di kediamannya pada Jumaat lepas.

Katanya, biarpun cuaca agak panas namun orang ramai tetap hadir. Ada juga yang datang dari luar DUN Temangan.

“Tidak ketinggalan hadir sama penduduk kaum Cina, India dan Siam bagi memeriahkan suasana. Terima kasih, kami sangat berterima kasih serta menghargai atas kehadiran anda semua.

“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang berusaha gigih mempersiapkan program tersebut,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Beliau juga berharap suasana kegembiraan yang tercipta pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Temangan terus berkekalan dan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -