Gangguan elektrik jejas operasi loji air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gangguan bekalan elektrik yang disalur Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyebabkan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Paloh, Gua Musang sering terganggu.

- Advertisement -

Menurut Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), gangguan elektrik di LRA Paloh tersebut memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji.

Katanya, LRA Paloh 3 berkapasiti mengeluarkan air bersih sebanyak 4 juta liter sehari (JLH) dikesan mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir 18 jam.

Kata beliau tarikh gangguan TNB berlaku pada 6 April selama 2 jam 15 minit, 6 April bermula jam 6.10 petang sehingga 8 pagi (13 jam 50 minit) dan 8 April (2 jam).

“Terdapat sejumlah 100 akaun pengguna daripada keseluruhan 371 akaun pengguna di kawasan tersebut.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, AKSB akan menempatkan tangki statik di kawasan bermasalah jika masih tiada air berterusan akibat gangguan bekalan elektrik,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut AKSB bagi perancangan jangka panjang, pengoperasian loji akan disediakan sebuah generator khusus pada musim perayaan.

AKSB juga menjelaskan gangguan bekalan air yang berlaku di Gunong, Bachok, khususnya Taman Putri Saadong dan kawasan sekitar bersifat berkala khususnya di musim perayaan.

Katanya punca bekalan air terputus kerana bekalan air yang diterima daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh.

“Ini menyebabkan pengambilan air mentah melalui telaga jejari Pasir Tumbuh yang membekalkan air mentah ke LRA Chicha terpaksa dikurangkan kepada 10 JLH daripada pengeluaran asal 15 JLH.

“Kebiasaannya LRA Chicha membekalkan air kepada Jajahan Bachok sehingga 12 JLH,” ujarnya. 

AKSB juga menempatkan empat tangki statik di kawasan-kawasan terjejas termasuk Pasar Gunong, Taman Puteri Saadong, Taman Hamidah dan Kampung Telaga Ara.

Menurutnya juga penghantaran air melalui Lori Air Kontrak (LAK) dengan kekerapan setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -