Isu Ganesparan: PUTRA serah memorandum mohon kepada Agong

Nurhafizah (tengah) dan Munirah (kiri) ketika hadir menyerahkan satu memorandum kepada agong di Pintu 3 Istana Negara, di sini, petang tadi. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) pada hari ini (3 April) telah menyerahkan satu memorandum untuk memohon ampun perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, supaya melucutkan kewarganegaraan Ganesparan Nadaraja yang didakwa menghina agama Islam, Sultan Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA, Nurhafizah Jamalludin berkata, tindakan individu berkenaan jelas menderhaka institusi diraja dan berharap Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar agar segera mengambil tindakan sewajarnya dengan melucutkan kewarganegaraannya.

- Advertisement -

“Saya percaya jika hal ini berlaku di negara Thailand, bukan setakat kerakyatannya yang dilucutkan, malah sudah pasti tindakan lebih berat akan diambil dan dihukum bunuh,” katanya ketika hadir di Pintu 3 Istana Negara, di sini, petang tadi.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada negara, kita perlu patuh dan taat kepada prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan dalam hidup.

“Kalau kita lihat, ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ merupakan prinsip rukun negara yang kedua. Jadi apabila perkara ini dipermainkan oleh sesetengah pihak, ianya melampaui kedaulatan institusi raja-raja dan perlembagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua Wirawati PUTRA, Datin Munirah Abdul Manap berkata, tindakan melucutkan kewarganegaraan Ganesparan perlu diambil agar martabat negara tidak tercemar sekaligus menghormati prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Generasi muda perlu dicontohi dengan perkara-perkara yang mengangkat kemuliaan Institusi Diraja dan martabat Rukun Negara serta Perlembagaan”,

“Tindakan Ganesparan pastinya memberi kesan negatif yang boleh mengganggu-gugat serta mempengaruhi generasi muda untuk wujudnya sikap negatif antara kaum,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 2.27 saat yang tular sejak 26 Mac 2024 memaparkan seorang individu bernama Ganesparan Nadaraja, telah mengeluarkan satu kenyataan dengan menghina agama Islam; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Institusi Diraja serta pihak PDRM, yang telah ditonton oleh orang ramai serata negara. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -